Assalamualaikum... ok nie exciment aq pasal kreek2 lupa la aq buat tajuk apa.. x save... sebab aq x simpan muka depan kulit excimnt nie.. excimnt nie di bawah subjek SOSIOLOGI DESA. ada gak kaitan pasal bajet 2015. kalau ada yang salah harap maaf.. biasalah buat kerja last minit.. satu hari suntuk aq lepak at fak.. FSSK... subuh baru balik.. :'(.. hobi kowt buat kerja last minit.. setiap sem aq berazam ntok siapkan excimnt awal waktu.. tp hampeh... idea yang mencurah2 dtng di saat akhir.. :)
1.1 PENGENALAN
Pembangunan sektor desa sebagai agenda pembangunan negara telah melalui banyak perubahan semenjak era Laporan Merah Tun Razak. Pada masa dahulu tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur dengan pendekatan ekonomi. Penyatuan dan pembukaan tanah telah menjadi isu utama dalam pembangunan. FELDA dan FELCRA telah banyak memainkan peranan mereka dalam menggerakkan pembangunan ini. Sehingga kini pun, pembangunan dalam bentuk ini masih diberi perhatian. Lebih-lebih lagi, aspek kemanusiaan telah mula mendapat tempat dalam strategi pembangunan ini (Endang Erwani & Rabiatul, 1996).
Menurut Muhammad Muhd. Taib (1996), membangunkan desa dan masyarakatnya, sebenarnya bermaksud menguruskan desa berkenaan dengan cemerlang dan bermutu tinggi supaya ia boleh merentasi cabaran pelbagai zaman. Terdapat beberapa pembangunan yang ingin di jalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pembangunan bandar dan luar bandar mempunyai jurang yang sangat jauh. Oleh itu, dalam melaksanakan pengluasan pembangunan ini, kita juga ingin memastikan bahawa, apabila pembangunan ini telah sampai ke luar bandar, pihak yang menyambut pembangunan ini dengan relevan, wujud. Justeru, perlu adanya para pemikir, para profesional, tenaga kerja dan golongan kesinambungan untuk menerima kemasukan pembangunan. Kita tidak mahu apabila pembangunan ini sampai ke kawasan desa, anak-anak muda desa masih tenggelam dalam keghairahan budaya berhijrah ke bandar, yang akhirnya menyebabkan kawasan luar bandar menjadi lenggang dan kosong.
Oleh yang demikian, kerajaan sangat komited untuk meningkatkan pembangunan modal insan dalam diri belia desa supaya mereka dapat sama-sama membantu kerajaan dalam membangunkan sektor desa (Taib, 1996). Sebagai contoh, dalam bidang pertanian. Menurut Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2010), Universiti berfungsi melahirkan modal insan yang mempunyai ciri kebolehpasaran dan menjadi pusat bagi menghasilkan modal intelektual, inovasi dan penemuan ilmu serta berperanan sebagai penyumbang kepada pembangunan kekayaan negara dan kesejahteraan masyarakat. Dalam menjalankan fungsinya, beberapa faktor dan senario di peringkat global dan domestik mempengaruhi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mencapai matlamatnya melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional. Terdapat tujuh buah IPTA yang sedang menawarkan 28 program pengajian pertanian prasiswazah iaitu 7 di peringkat diploma dan 21 lagi ditawarkan di peringkat sarjana muda. Kebolehpasaran graduan program pengajian pertanian perlu ditingkatkan melalui inisiatif seperti latihan industri, mobiliti pelajar, penerapan unsur kemahiran insaniah dalam kursus yang diajar dan penglibatan pelajar dalam program anjuran industri berkaitan pertanian. Kesemua ini boleh termasuk dalam aspek pembangunan modal insan, yang mana salah satu strategi pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat boleh dicapai melalui membangunkan potensi penduduk luar bandar (desa) melalui pendidikan (Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar, 2010).
Menurut Mohd Fauzi dan Mohd Khairul (2012), modal insan ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh pekerja yang menyebabkan mereka lebih produktif. Modal ini tidak boleh dipindahkan daripada seorang kepada seorang yang lain tetapi seseorang perlu melabur untuk mendapatkannya. Ia dibentuk atau dipupuk melalui pelaburan terhadap pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup seseorang. Nilai kini terhadap pelaburan tersebut dapat menentukan taraf modal insan yang ada pada seseorang. Terdapat lima aspek yang mencirikan modal insan iaitu, modal insan tidak boleh diperdagangkan. Ia berupa pengetahuan dan kemahiran yang menjadi hak milik individu yang diperoleh di atas keupayaan diri. Setiap individu juga tidak mempunyai cara yang sama dalam membangunkan modal insan. Terdapat individu yang berupaya mempunyai keupayaan diri seawal usia mudanya tetapi terdapat juga individu yang membina keupayaannya di usia lanjut. Selain itu juga, modal insan juga dapat dilihat dari aspek kualiti dan kuantiti yang berbeza berdasarkan keupayaan dirinya. Tambahan pula, modal insan juga boleh bersifat lebih khusus atau umum iaitu boleh digunakan secara khusus untuk seorang individu sahaja atau boleh diguna secara bersama. Ciri yang terakhir yang melambangkan modal insan adalah ia dipengaruhi oleh aspek luaran iaitu persekitaran dan ikatan sosial. Ia memainkan peranan penting dalam menentukan tahap modal insan yang dimiliki oleh seseorang individu.
Bajet 2015 menunjukkan bahawa kerajaan terus berusaha membangun dan memajukan sektor desa dan pertanian bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk. Pelbagai rancangan, dasar, program telah dilaksanakan seperti Buku Hijau, rancangan Transformasi Pembangunan Sektor Desa, Dasar Pertanian Negara (DPN) I-III, dan lain-lain bagi tujuan tersebut selain menjadikan sektor itu lebih menarik, terutama untuk pelaburan dan keuntungan. Namun, sungguhpun pelbagai kemajuan dan kejayaan telah diperoleh, masih lagi terdapat isu, cabaran dan masalah yang perlu ditangani, terutama dalam era globalisasi ini. Antara isu, cabaran dan masalah yang perlu ditangani terutama dalam era globalisasi ini ialah dari aspek modal insan dalam sektor desa itu sendiri.
Menurut YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi (2006), modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan. Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang semakin meningkat. Menurut laman web rasmi Jabatan Penerangan Malaysia, pembangunan modal insan memerlukan individu meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama di samping penekanan akan diberi ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan memiliki kekuatan moral. (Y.A.B. Perdana Menteri). Modal insan merupakan pengimbangan pembangunan fizikal yang berteraskan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangkumi nila, etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.
Pembangunan modal insan merupakan salah satu aspek penting bagi membangunkan ekonomi negara yang berasaskan pengetahuan, berdaya saing dan berdaya tahan. Kepentingan pembangunan modal insan untuk pembangunan ekonomi negara jelas dapat dilihat, di mana teras kedua yang digariskan dalam Misi Nasional yang menjadi asas kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan ke arah merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, adalah berkait secara langsung dengan pembangunan modal insan. Bagi sektor pengajian tinggi, pembangunan modal insan, terutamanya golongan akademik dan pelajar, adalah sangat penting kerana golongan ini menjadi antara penyumbang utama ke arah matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju (Zulkefli, 2007).
Memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan di luar bandar iaitu di desa merupakan teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Modal insan merupakan satu elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Insanlah merupakan faktor utama di dalam semua strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan aktiviti dan program pembangunan negara. Signifikan modal insan dalam RMK9 dikenal pasti mencakupi pelbagai aspek. Antaranya terdiri daripada keperluan kepada modal insan berkualiti, pendekatan holistik dalam pembangunan modal insan, strategi melahirkan modal insan kelas pertama, perkaitan Misi Nasional, Wawasan 2020 dengan modal insan, keselarian pembangunan modal insan dengan pendekatan Islam Hadhari, modal insan dan aktiviti kebudayaan, modal insan dan peranan golongan wanita, modal insan dan perundangan, modal insan dan pendidikan dan akhir sekali ialah modal insan dan integriti.
Menurut Zalika, Faridah, dan Johdi (2009), pembangunan insan juga di bentuk bagi memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.
1.2 ISU, CABARAN DAN MASALAH DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN DALAM MASYARAKAT DESA.
Isu pembangunan modal insan di Malaysia telah dipaparkan dengan jelas oleh Ishak Yussof dan Zulkifli Osman (2008) dalam bab 3 iaitu di bawah tajuk ‘Pembangunan Modal Insan di Malaysia: Perspektif Ekonomi’. Dalam konteks negara ini, strategi melahirkan tenaga kerja berkualiti yang memiliki dan menguasai pengetahuan, kemahiran sikap yang selari dengan tuntutan pasaran buruh semasa dan akan datang menjadi semakin penting. Pelaburan dalam pendidikan misalnya, bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan pertambahan permintaan daripada golongan belia, malah yang lebih penting melahirkan tenaga kerja yang berupaya menjana ekonomi berteraskan pengetahuan pada masa hadapan.
Menurut Yahaya dan Hair Awang (2008), modal insan merupakan aset yang dominan bagi sesebuah negara yang sedang membangun. Oleh itu, pembangunan modal insan memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan pencapaian ekonomi negara. Keutuhan sesebuah organisasi sangat bergantung pada produktiviti yang dihasilkan oleh modal insan yang efisien. Namun begitu, modal insan hanyalah menjadi aset berharga bagi sesebuah organisasi dan negara sekiranya tahap kecekapan, kemahiran, sikap serta pengetahuan modal insan dibangunkan selaras dengan keperluan organisasi dan negara.
Kualiti kerja di Malaysia semakin merosot. Kemasukan tenaga kerja baru ke dalam pasaran buruh tidak menepati kemahiran yang diperlukan oleh industri. Kebanyakan pelabur mengeluh kerana pekerja baru berkurangan kapasiti menganalisis dan menyelesaikan masalah. Kelemahan penguasaan bahasa dan rangkaian sosial menghalang penggunaan teknologi terkini dan proses berpasukan moden untuk aktiviti-aktiviti tambah-nilai tinggi. Tanpa jumlah tenaga kerja berkemahiran yang besar, kita menghadapi risiko menjunam ke arah sebuah negara yang sederhana.
Selain itu juga, salah satu hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam RMK9 adalah untuk membangunkan modal insan yang memiliki penampilan unggul untuk mendukung cita-cita negara serta menyediakan kepimpinan yang utuh (towering personality). Seseorang dengan penampilan unggul mempunyai ciri-ciri berhemah mulia, berpendidikan serta berjaya dalam bidang yang diceburi. Di samping itu, seseorang yang memiliki penampilan unggul akan memiliki sifat-sifat seperti amanah, berbudi pekerti, rajin, berdisiplin, ikhlas dan tekun dalam semua usahanya. Cabaran KPM adalah untuk menyemai nilai-nilai yang akan menghasilkan perwatakan pelajar yang unggul. Menyedari bahawa perancangan untuk melahirkan generasi dengan sifat keunggulan adalah tanggungjawab yang berat. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan dengan penggemblengan tenaga dan komitmen jitu daripada semua pihak.
Selain itu juga, isu ketidaksesuaian di antara penawaran graduan oleh IPT dan permintaan oleh industri ini juga berkait rapat dengan falsafah pendidikan yang berkaitan dengan pengajian tinggi yang telah lama dibahaskan. Falsafah pendidikan menekankan matlamat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan, berinovatif, kritikal dari segi pemikirannya dan menghayati nilai-nilai murni sebagai asas penghidupan. Ini berbeza dengan matlamat latihan yang menekankan kepada keperluan untuk meningkatkan kemahiran individu dalam konteks kerjayanya, dan merupakan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh majikan dan bukannya IPT. Namun demikian, ‘the educational objectives of higher learning institutions and the training objectives of employers are not necessarily mutually exclusive as up to a point both are mutually complementary and supportive of each other’. IPT tidak boleh diharapkan untuk menjadi institusi latihan semata-mata untuk menghasilkan graduan yang diperlukan oleh industri. Keperluan industri terhadap graduan mungkin berbeza mengikut masa. Oleh itu, amat menyulitkan untuk IPT berubah mengikut kehendak industri. Dialog dengan industri juga menunjukkan bahawa mereka sendiri tidak dapat meramalkan keperluan industri terhadap graduan dalam jangka yang lebih panjang yang melebihi tempoh dua (2) atau tiga (3) tahun (Zulkefli, 2007).
Dalam RMK9, terdapat tiga aspek penting dalam pembangunan modal insan yang unik yang telah ditekankan berbanding dengan rancangan sebelumnya. Antaranya ialah skop modal insan yang holistik iaitu bersifat meluas, penekanan kepada aspek pembangunan intelektual dan institusi ilmu dan yang akhir sekali ialah, pengukuhan keupayaan sains, R&D dan inovasi. Kajian Pelan Induk yang telah dijalankan pada awal tahun 2010 telah merumuskan beberapa isu dan cabaran dalam melahirkan modal insan dalam masyarakat desa. Antaranya ialah perubahan minda, nilai masyarakat desa, kepimpinan desa, peluang pekerjaan yang kurang menarik, peluang aktiviti keusahawanan yang terhad, masalah tanah, nilai tambah yang rendah, kebergantungan kepada buruh asing, produktiviti yang rendah, saiz penempatan luar bandar yang bertaburan kecil, kurang kemahiran dan tahap pendidikan yang rendah, dan akhir sekali ialah pertindihan agensi dan fungsi iaitu berlakunya ketidakcekapan dan pembaziran sumber.
1.2.1 Perubahan Minda
Dari aspek perubahan minda, masyarakat desa dilihat masih terikat dengan cara berfikir dan bertindak mengikut amalan lama iaitu bersifat tradisional. Mereka dikatakan masih mengharapkan subsidi atau bantuan kerajaan dan menganggap melaksanakan pembangunan merupakan sepenuhnya tanggungjawab kerajaan. Antara bantuan kerajaan yang diharapkan oleh kebanyakan penduduk desa ialah pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), subsidi minyak bagi pekerja nelayan dan sebagainya.
1.2.2 Nilai Masyarakat Desa
Kita dapat lihat bahawa nilai masyarakat di kawasan luar bandar sentiasa berubah mengikut perkembangan dan peredaran massa. Mereka kini semakin dipengaruhi oleh nilai kebendaan dan bersikap individualistik. Nilai-nilai murni seperti amalan gotong-royong, saling bantu-membantu dan bermuafakat sudah mula terhakis. Perubahan nilai juga dapat dilihat dari aspek kesepaduan sosial. Mereka tidak lagi mendukung kesepaduan erat seperti mana yang diamalkan oleh masyarakat tradisional.
1.2.3 Pendidikan dan Kepimpinan Desa
Menurut mukadimah Akta Pendidikan (1996), tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat (Sufean & Norliza (2009). Menurut Zalika, Faridah dan Mohammad Johdi (2009), memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan luar bandar (desa) merupakan teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko keciciran pelajar. Membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, dan merapatkan jurang pendidikan merupakan kunci dalam mencapai matlamat memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan luar bandar (desa).
Menurut Mohd. Zain (1996), terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian sekiranya taraf pendidikan di desa hendak dipertingkatkan. Sekiranya dibandingkan dengan sekolah di bandar, maka kita akan dapati sekolah di desa masih banyak menghadapi pelbagai kekurangan dari sudut kualiti prasarana, kemudahan dan tenaga pengajar (guru). Keadaan yang serba kekurangan ini dan dasar pendidikan yang diamalkan penjajah itu tidak mampu melahirkan pelajar yang berpendidikan cemerlang di kalangan penduduk desa. Berdasarkan kajian Pelan Induk, sikap negatif dan enggan berusaha, sikap sentiasa berharap kepada subsidi dan bantuan, masalah kemiskinan sangat jelas di kalangan masyarakat Orang Asli dan kelompok miskin tegar yang lain. Kadar keciciran pelajar di kalangan orang Asli adalah tinggi, misalnya pada tahun 2008 sebanyak 36.1% daripada pelajar orang asli yang tamat Darjah 6 tetapi tidak meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan 1. ini dilihat jauh berbeza dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Kepimpinan desa juga turut menjadi isu kerana anak-anak muda yang mempunyai pendidikan tinggi tidak lagi tinggal dan bekerja di kampung. Kita dapat lihat bahawa berlakunya penghijrahan golongan belia ke bandar. Akibatnya pemimpin pelapis yang berpotensi dan berkaliber telah tiada atau semakin berkurangan di kawasan luar bandar bagi menerajui aktiviti ekonomi di kalangan penduduk desa. Hal ini kerana, penduduk luar bandar didapati masih mengharapkan bantuan kerajaan. hasil kajian Pelan Induk telah menunjukkan 30.3 responden yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar masih sangat berharap kepada kerajaan. Selain itu, sikap enggan berusaha, keengganan untuk berubah, sikap kebergantungan kepada orang lain dan cepat berpuas hati dengan apa yang ada masih wujud.
Oleh itu, bagi melahirkan belia yang mempunyai modal insan dalam aspek pendidikan dan aspek pekerjaan, kerajaan telah berusaha memberikan peruntukan terhadap pembangunan modal insan dalam diri masyarakat desa terutamanya belia yang bakal menjadi peneraju negara kelak.
1.2.4 Migrasi Belia Desa ke Bandar
Penghijrahan belia ke kota, terutama ke bandar besar seperti Kuala Lumpur telah bermula sejak zaman awal kemerdekaan lagi. Suasana yang tidak menghiburkan, tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang kukuh dan stabil serta dikongkong oleh sistem adat dan peraturan keluarga yang ‘menyakitkan’ di desa menyebabkan golongan remaja menganggap kota sebagai kota sebagai salah satu destinasi yang harus dituju. Namun begitu, sebahagian besar yang berhijrah ke kota hanya berjaya mengisi pekerjaan yang rendah tarafnya, rendah pendapatannya dan kadangkala tidak mampu untuk menampung kos hidup yang tinggi di bandar. Tegasnya, kerjaya kolar biru yang dapat dicapai oleh golongan belia ini tidak memungkinkan mereka mencapai status quo bandar yang diidamkan.
Menurut Abibullah (1996), tidak ada data yang menujukkan perangkaan belia yang tinggal di bandar dan yang tinggal di luar bandar (desa). Walau bagaimanapun, kita boleh mengandaikan bahawa belia bandar dan luar bandar mempunyai kadar yang hampir sama seperti perangkaan penduduk bandar dan luar bandar. Oleh itu umumnya belia luar bandar pada masa kini adalah ramai berbanding dengan belia bandar. Perhatian yang serius kepada kelompok ini perlu dilakukan bagi melihat keupayaan mereka menjulang negara ke arah kecemerlangan.
Antara punca belia berhijrah ke kawasan bandar adalah disebabkan oleh peluang pekerjaan di luar bandar dilihat kurang menarik dari sudut pendapatan dan peluang perkembangan kerjaya. Masalah ini terus menjadi penghambat utama kepada golongan pekerja, khususnya belia untuk memilih kerjaya di kawasan luar bandar. Selain itu juga, kawasan luar bandar (desa) dilihat mempunyai bilangan penduduk setempat yang terhad dengan pendapatan yang rendah. Justeru itu, untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, usahawan luar bandar perlu meneroka pasaran di luar daripada kawasan mereka. Kekurangan prasarana menyempitkan lagi ruang dan peluang bagi aktiviti keusahawanan. Hasil kajian Pelan Induk juga menunjukkan mereka menghadapi masalah modal dan kemahiran.
1.2.5 Masalah Tanah dan Nilai Tambah yang Rendah
Pertambahan penduduk yang begitu pesat dan permintaan tanah untuk aktiviti bukan ekonomi seperti tapak perumahan telah menambah buruk isu tanah di luar bandar. Saiz pemilikan tanah di luar bandar yang kecil dan tidak ekonomik telah menghalang kegiatan ekonomi dijalankan secara komersial. Tambahan pula, kebanyakan aktiviti ekonomi masih terhad kepada pengeluaran barangan mentah. Kesannya, produk luar bandar tidak dapat menjana pulangan tinggi berikutan kurang nilai tambah dalam aktiviti pengeluarannya.
1.2.6 Kebergantungan Kepada Buruh Asing dan Produktiviti Yang Rendah
Kekurangan buruh tempatan juga mula merebak ke sektor pertanian menjelang dekad 1990an. Masalah ini bukan sahaja terhad kepada sektor ladang, tetapi juga turut dihadapi oleh pekebun kecil, penternakan dan perikanan. Kini, sektor luar bandar juga terpaksa bergantung pada pekerja asing untuk terus beroperasi. Tambahan pula, tahap pengetahuan dan kemahiran penduduk luar bandar (desa) yang rendah serta amalan ekonomi dan teknologi mereka bersifat tradisional menyebabkan produktiviti buruh, modal dan tanah di luar bandar berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
1.2.7 Saiz Penempatan Luar Bandar yang Bertaburan dan kecil
Penempatan luar bandar terdiri daripada kampung tradisi, penempatan FELDA dan FELCRA, kampung baru, penempatan ladang, kampung Orang Asli dan pusat-pusat penempatan di kawasan Lembaga Pembangunan Wilayah. Corak penempatan ini adalah secara berkelompok, sejajar dan bertabur. Corak penempatan desa sebegini memberi implikasi kepada tahap capaian program-program pembangunan yang dilaksanakan. Saiz penempatan yang kecil pula menghadkan bilangan penyertaan penduduk yang mempengaruhi keberkesanan sesuatu projek.
1.2.8 Pertindihan Agensi dan Fungsi (Ketidakcekapan dan Pembaziran Sumber)
Pelbagai agensi terlibat dalam usaha pembangunan luar bandar seperti Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, MARA, RISDA, FELCRA berhad dan KEMAS di bawah KKLW, Jabatan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Program-program kementerian/agensi ini semuanya memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang sama. Tanpa penyelarasan yang berkesan, keadaan ini boleh mewujudkan pertindihan fungsi dan pembaziran peruntukan serta kekeliruan di pihak penerima atau kumpulan sasar.
1.3 PERANAN BELIA DESA
Menurut Abibullah (1996), belia desa ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur belia (15-39 tahun) dan tinggal di kawasan yang dikategorikan sebagai desa (penduduk yang kurang daripada 10 000 orang). Mereka ini terdiri daripada lepasan universiti, maktab perguruan, institusi pengajian tinggi yang lain dan mereka terdiri daripada belia lepasan sekolah. Majoriti belia yang masih kekal di kawasan desa ini ialah belia lepasan sekolah (PMR, SPM, dan STPM). Mereka tinggal di sebuah desa sama ada bersama keluarga asal (ibu bapa) atau sudah tinggal bersama anak dan isteri. Pekerjaan mereka banyak bergantung pada kelayakan yang mereka miliki daripada bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat swasta sehinggalah kerja buruh di kawasan desa.
Menurut Abibullah lagi, terdapat tiga saluran penting yang membolehkan belia desa boleh berperanan di daerahnya. Iaitu melalui pembangunan rohani, ekonomi dan sosial. Melalui pembangunan rohani, belia desa perlu menyumbangkan peranan mereka dalam aspek keagamaan, pendidikan, ketatanegaraan dan pembinaan semangat. Sebagai contoh dalam aspek pendidikan, belia desa boleh berperanan dalam memberi kesedaran untuk membantu membangunkan minda masyarakat desa. Penganjuran kelas-kelas tambahan dan tuisyen, kursus-kursus jangka pendek, seminar, bengkel, wacana, perpustakaan mini dan sebagainya boleh merangsang masyarakat desa berbudaya ilmu. Ini akhirnya akan menghasilkan masyarakat desa yang berilmu dan mampu melahirkan generasi yang berkualiti.
Selain itu juga, melalui pembangunan ekonomi, belia desa mempunyai kepentingan dalam mengendalikan projek, mahir dalam penggunaan teknologi, berdaya maju, penglibatan belia dan seterusnya berfaedah kepada masyarakat setempat. Sebagai contoh kita boleh lihat dalam aspek kemahiran dalam menggunakan teknologi termasuk juga dalam dasar modal insan. Menurut Abdillah (1996), projek-projek ekonomi yang dijalankan lazimnya bersifat menggunakan sumber-sumber tempatan seperti tanah terbiar, kawasan tanah baru dan mengusahakan tanah secara berkelompok atau menggunakan sistem pengurusan secara ladang. Projek-projek ini perlulah menggunakan teknologi semasa supaya daya produktiviti mencapai tahap seperti yang diharapkan. Penggunaan teknologi tersebut pula perlulah sesuai dengan tahap penerimaan belia dan tidak membebankan mereka terutamanya dari segi kewangan. Manakala dalam aspek pembangunan sosial pula, peranan belia boleh dilihat dalam aspek gotong-royong atau kerja amal, kesenian, dan sukan.
1.4 PRASYARAT KEJAYAAN BELIA DESA SEBAGAI AGEN PEMBANGUNAN DESA
Belia merupakan pelapis dalam mentadbir negara kelak. Walau bagaimanapun, belia desa tidak boleh berdiri sendiri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Kemahuan dan semangat kesukarelaan mereka untuk menggerakkan masyarakat desa perlu diberi penghargaan. Oleh itu, syarat kejayaan mereka banyak bergantung pada sejauh mana kewujudan mereka dibantu oleh faktor dalaman dan pelbagai faktor luaran. Apa yang lebih penting berbanding dengan kedua-dua faktor tersebut ialah belia desa tidak mungkin mencapai kejayaan membangunkan desa mereka tanpa pembentukan dan kewujudan sebuah atau beberapa buah organisasi yang kukuh dan mantap untuk bekerjasama memajukan desa mereka.
1.5 PERUNTUKAN BAJET 2015 DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG BERKEMAMPUAN MENTADBIR NEGARA KELAK.
Pembentangan Bajet 2015 turut mengambil kira kepentingan modal insan. Aspek pembangunan modal ini terkandung dalam strategi ketiga iaitu mengupayakan modal insan dan keusahawanan. Terdapat 12 tindakan yang difokuskan dalam bajet 2015 bagi memastikan strategi dalam membangunkan modal insan tercapai. Dalam pembentangan bajet 2015, menyatakan bahawa antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung pada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber galian semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baru. Justeru itu, untuk melahirkan belia yang mempunyai modal insan, kerajaan perlu komited dalam setiap perancangan yang dilakukan bagi membantu belia terutamanya belia desa mampu berdaya saing dan memperoleh pekerjaan bukan sahaja memiliki kelayakan, tetapi juga mempunyai jati diri yang kuat terutamanya dalam aspek rohani dan jasmani. Ini bertujuan untuk memastikan nilai-nilai murni kehidupan sosial di luar bandar seperti sikap malu, bekerjasama, jujur, mesra, bertanggungjawab dan berbudi bahasa berkekalan apabila berhijrah ke bandar ataupun tinggal di desa bagi tujuan membangunkan desa. Keupayaan memajukan diri sendiri dan keluarga perlu diterapkan dalam jati diri masyarakat desa. Mentaliti masyarakat yang mengharapkan bantuan semata-mata, sering bergantung pada orang lain untuk mengubah diri dan cepat berpuas hati dengan apa yang ada perlu dikurangkan.
Selain itu juga kerajaan juga komited untuk membangunkan potensi penduduk desa melalui sektor pendidikan. Hampir kesemua tindakan yang telah dicadangkan semasa pembentangan bajet 2015 berkaitan dengan aspek pendidikan. Kerajaan berhasrat agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34 peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2020. Dalam pembentangan bajet 2015 juga menyatakan bahawa sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaran dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, 56 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah penekanan kepada pemantapan sekolah-sekolah 7yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 250 juta ringgit untuk menjayakan Program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan Program Rakan Peningkatan Sekolah. Selain memantapkan profesionalisme perguruan dan prestasi sekolah, kerajaan juga akan memperluaskan program Sekolah Amanah.
KESIMPULAN
Membangun dan mengukuhkan modal insan di luar bandar yang akan dapat mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni. Penekanan perlu diberikan kepada merubah kerangka minda dan sikap penduduk luar bandar supaya mempunyai keyakinan diri dan semangat ingin berdikari. Dimensi pembangunan modal insan juga meliputi pengukuhan keupayaan asas dan pengekalan nilai murni yang diamalkan di luar bandar. Di samping itu, pembangunan keluarga yang sejahtera juga akan diberi tumpuan bagi membentuk institusi keluarga yang kukuh dengan kekuatan nilai yang boleh menjamin masyarakat dan pekerja yang beretika dan bermoral.
TERIMA KASIH :)
No comments:
Post a Comment