NEVER EVER EVER GIVE UP!!!

IF YOU WANT TO MAKE YOUR DREAMS COME TRUE,
THE FIRST THING YOU HAVE TO DO IS WAKE UP!!!!

Wednesday, September 10, 2014

DASAR DAN PENDEKATAN MALAYSIA DALAM MENGURANGKAN PERLAKUAN JENAYAH

Assalamualaikum...

lama rasa nyew x mnjengah ke ruangan ini... skrng nie musim final exam bg sem 2 tahun2013/2014... gud luck kepada semua rakan2 yang mengenali diri ini. diharap kalian dapat menjawab dengan mudah... alhamdulillah segala excimnt da siap dgn jayanya... harap dengan perkongsian maklumat di bawah berkaitan dengan dasar dan pendekatan dalam mengurangkan jenayah di malaysia dapat membantu anda semua... segala salah silap harap ditegur.. saya budak baru belajar.. excmnt yg saya nk kongsi nie berkaitan dengan perubahan sosial dan pembangunan.. :)


1.0       PENDAHULUAN
Seluruh dunia sedang mengalami suatu perubahan global yang dikenali sebagai ‘urbanisasi’ atau perbandaran. Ambe (2003) dalam Nor-Ina Kanyo & Norizan Hj Md Nor (2007)  mengatakan bahawa fenomena ini semakin pesat berlaku khususnya di rantau Asia. Menurut laporan United Nations (1996),  negara membangun akan menjadi kawasan tumpuan pembangunan dan penduduk menjelang tahun 2015 (Alain, 1999:24) dalam Nor-Ina Kanyo & Norizan Hj Md Nor (2007).
 Menurut Davis (1969), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan indikator peningkatan penumpuan penduduk di kawasan bandar sebagai kayu ukur kepada kepesatan urbanisasi (Pacione,2001:78). Perbandaran sering kali dianggap sebagai petunjuk modenisasi, peningkatan taraf hidup serta kemajuan sama ada di negara membangun atau negara maju, kerana pembandaran merupakan prasyarat untuk pemodenan dan perkembangan (Clark, 1982:44). Oleh itu. Perbandaran merupakan satu elemen penting terhadap kemajuan sesebuah negara. Dalam kepesatan perbandaran, pelbagai perubahan akan berlaku iaitu meliputi aspek seperti ekonomi, demografi, politik, budaya, teknologi, sosial, dan faktor persekitaran semula jadi yang mana perubahan-perubahan ini merupakan petunjuk kepada kepesatan perbandaran (Nor-Ina Kanyo & Norizan Hj Md Nor. 2007:2).
Hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju-industri diungkapkan dalam wawasan 2020. Matlamat Malaysia ialah mencapai pembangunan ekonomi yang mengimbangi pembangunan dan keadilan sosial serta boleh dinikmati oleh segolongan besar rakyat. Namun demikian, seiring dengan kepesatan, perkembangan, kemajuan serta pembangunan infrastruktur, manusia telah mencetuskan pelbagai fenomena sosial seperti penagihan dadah, pelacuran dan sebagainya yang merangsang kepada berlakunya perlakuan jenayah. Masalah jenayah merupakan di antara kesan negatif yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Fenomena peningkatan kadar jenayah lazimnya mempunyai perkaitan dengan kepesatan perbandaran. Knox (1994) dalam Nor-Ina Kanyo & Norizan Hj Md Nor. (2007), menjelaskan bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam bandar saling berhubung kait kesan daripada proses perbandaran. Rohana Yusof (2010) juga menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku bukanlah semata-mata suatu kemajuan tetapi turut melibatkan suatu kemunduran dari masyarakat yang bersangkutan, yang turut melibatkan bidang-bidang kehidupan yang tertentu.
 Perlakuan jenayah merupakan fenomena permasalahan sosial yang melanda kebanyakan bandar di dunia termasuk Malaysia. Permasalahan ini menunjukkan peningkatan dan menimbulkan reaksi kebimbangan pelbagai peringkat lapisan masyarakat sama ada di pihak pemerintah mahupun masyarakat awam keseluruhannya. Peningkatan ini bukan petunjuk kepada ketidakberkesanan langkah dijalankan, namun terdapat pelbagai faktor dalam mempengaruhinya yang meliputi faktor ruangan dan bukan ruangan serta kecanggihan sains dan teknologi menyebabkan permasalahan ini semakin rumit, kompleks dan bersifat global yang semakin sukar dibendung. Menyedari peningkatan permasalahan ini yang seiring dengan kepesatan pembangunan negara, pihak kerajaan telah bertindak proaktif melaksanakan beberapa dasar atau pendekatan dalam membendungnya sejak dari peringkat awal, seterusnya memenuhi hasrat masyarakat yang ingin hidup bebas, aman damai serta sejahtera daripada sebarang permasalahan perlakuan jenayah (Nor-Ina Kanyo, Norizan Hj Md Nor dan Ruslan Rainis, 2013: 225).

2.0           DEFINISI KONSEP
                2.1   Perubahan sosial

Menurut Gerth dan Mills (1964) dalam Rohana Yusof (2010), perubahan sosial adalah sesuatu proses yang berlaku  satu urutan masa terhadap peranan dan institusi sesuatu sistem sosial. Perubahan yang dimaksudkan boleh disifatkan sebagai ke arah kemunculan kemerosotan ataupun pertumbuhan sistem sosial berkenaan.
2.2   Konsep Pembangunan
Umumnya pembangunan adalah suatu konsep yang luas dan komprehensif. Terdapat berbagai-bagai-bagai pengertian daripada ahli-ahli sosiologi dan juga ahli-ahli ekonomi. Menurut Meier (1960), pembangunan adalah suatu proses di mana pendapatan per kapita sesuatu negara naik dalam sesuatu jangka masa. Begitu juga Hagen (1978), menyatakan bahawa pembangunan seharusnya menekankan kepada penambahan dalam pengeluaran dan produktiviti negara (Rohana Yusof, 2010: 275).

         Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa pembangunan dilihat sebagai satu fenomena ekonomi. Oleh yang demikian pengukuran-pengukuran ekonomi seperti GNP dan per kapita kerap digunakan sebagai penunjuk kepada pembangunan. Tetapi menurut Jhingan (1966) pula pertambahan dalam pendapatan per kapita tidak semestinya telah meningkatkan taraf kehidupan rakyat seluruhnya secara sebenar. Oleh itu Seers (1969) menyatakan pembangunan tidak boleh disamakan engan pertumbuhan ekonomi. Menurut beliau pembangunan mesti mengambil kira tiga ciri penting iaitu mengurangkan kemiskinan, mengurangkan pengangguran, dan juga mengurangkan ketidaksamarataan antara rakyat. Jadi pembangunan bukanlah setakat meningkatkan pengeluaran atau pendapatan tetapi juga merangkumi keperluan asas bagi setiap orang dan negara (Rohana Yusof, 2010: 275).

                2.3   Konsep Jenayah

Jenayah adalah sesuatu yang abstrak dan pengertian jenayah telah banyak dihuraikan secara mendalam oleh ahli-ahli kriminologi. Beberapa pengertian yang telah diberikan oleh ahli kriminologi tentang jenayah. Jenayah didefinisikan sebagai suatu tindakan luar kawalan di mana ia telah melanggar nilai-nilai kemasyarakatan. Ia merupakan kesalahan atau dosa yang berat yang berkaitan dengan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta bertentangan daripada norma dan akhlak yang terdapat dalam masyarakat (Bloch & Geis, 1970). Jenayah adalah kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat. Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada individu tersebut serta masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan tersebut (Muhammad Amirulfaiz, 2012: 12-13)

         Menurut Siti Zaharah & Datin Nor Aini (2010), jenayah merupakan perbuatan yang jika dilakukan akan menyebabkan pelaku itu didakwa oleh pihak berkuasa dan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa. Apa yang terjumlah kepada satu kesalahan jenayah berbeza mengikut susunan masyarakat yang dipengaruhi oleh agama, budaya dan latar belakang. Apa yang jelas, perbuatan salah yang tidak boleh diterima oleh semua ahli masyarakat menjadi satu kesalahan jenayah. Norma biasa misalnya, tidak membenarkan masyarakat menerima perbuatan membunuh sebagai satu perbuatan yang boleh diterima. Semua berpendapat bahawa perbuatan itu salah di sisi moral dan agama kerana tiada seorang pun yang berhak mengambil nyawa orang lain, walau apa pun sebabnya. Dalam keadaan ini maka perbuatan membunuh menjadi satu perbuatan jenayah bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

                         Menurut Joan Ferrante (2010),
            “ A crime is an act that breaks a law. A law is a rule governing conduct created by those in positions of power and enforced by entities given the authority to do so, such a police”.
        Menurut beliau lagi,
        “when sociologists study crime they ask, “who avoids detection, who gets caught, and who goes to prisons?”

         Jenayah menurut Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali ialah kesalahan dan perbuatan yang dilarang di sisi undang-undang syarak dan pesalah akan dikenakan hukuman hudud, qisas dan ta’zir. Iaitu segala perbuatan jahat yang dilakukan dengan tujuan untuk menceroboh harta benda, kehormatan anggota dan tubuh badan manusia serta semua kesalahan tersebut berkaitan dengan hak Allah, seperti minum arak, tidak berpuasa, tidak sembahyang dan kesalahan yang berkaitan dengan hak manusia, seperti mencuri dan menceroboh.

                2.4   Konsep Keselamatan awam

Keselamatan menurut dewan edisi keempat, keselamatan ditakrifkan sebagai perihal selamat, kesejahteraan, serta keamanan. Di mana antara pihak yang terlibat untuk menjaga keselamatan ialah polis, tentera bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat, bangsa dan negara. Manakala awam pula bermaksud masyarakat yang tinggal dalam sebuah kelompok yang ramai.  Jadi dapat disimpulkan bahawa keselamatan awam bermaksud menjaga kesejahteraan masyarakat daripada ancaman, membanteras gejala jenayah dan sebagainya.


3.0      TREND JENAYAH DI MALAYSIA

Perlakuan jenayah merupakan antara permasalahan sosial yang melanda di Malaysia sejak dulu lagi dan peningkatannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Namun demikian, tidak dinafikan perubahan dan pembangunan yang pesat telah membawa kepada peningkatan jenayah di kebanyakan tempat. Masalah jenayah ini juga dikatakan semakin kompleks dan sukar dibendung kesan daripada kemajuan dalam sains dan teknologi. Corak pembangunan di negara ini adalah unik di bandingkan dengan negara-negara lain. Ini kerana Malaysia tidak menghadapi masalah tekanan penduduk, bencana alam dan kesan peperangan (Maimunah,1992; Nor-Ina Kanyo, Norizan Hj Md Nor & Ruslan Rainis. 2013). Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (2012), terdapat peningkatan dari segi peratusan bilangan penduduk yang tinggal di bandar berbanding luar bandar iaitu peratusan penduduk telah meningkat daripada 73% pada tahun 2013 kepada 73.7% pada tahun 2014. Pada tahun 2020 peratusan penduduk bandar dijangkakan akan mencecah 77.2%.  Walaupun peningkatan penduduk di kawasan bandar membuktikan tercapainya perbandaran, namun ia akan membawa kepada peningkatan kepada berlakunya perlakuan jenayah di bandar.

                Merujuk kepada laporan perbandingan jenayah mengikut tahun iaitu perkiraan ke atas setiap 100,000 orang penduduk, didapati kes jenayah semakin terkawal (Utusan Malaysia, 2001). Namun demikian, merujuk kepada statistik trend jenayah negara, didapati jenayah negara menunjukkan peningkatan setiap tahun (Laporan Tahunan Polis Diraja Malaysia 2008). Jenayah terbahagi kepada 4 iaitu jenayah kekerasan, jenayah harta benda, jenayah komersial dan jenayah narkotik.

            Jenayah kekerasan merujuk kepada jenayah bunuh, rogol, samun berkawan bersenjata api, samun berkawan tidak bersenjata api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api, dan mencederakan. Pada tahun 2007 bilangan jenayah indeks yang dilaporkan adalah berjumlah 35,159 kes dan meningkat kepada 37,817 kes pada tahun 2008. Kemudian kes ini meningkat lagi kepada 40,738  kes pada tahun 2009. Perbandingan jenayah kekerasan pada tahu 2008 dan 2009 bagi nisbah 100,000 penduduk menunjukkan peningkatan sebanyak (7) kes (5.0%). Kategori kesalahan yang menunjukkan peningkatan adalah kes samun berkawan tanpa senjata api dan rogol manakala bagi kesalahan lain menunjukkan penurunan. Pada 18 April 2008, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah berjaya menangkap (3) lelaki India dan (2) lelaki Cina yang terlibat dalam kes samun bersenjata api di Pintu 7, aras %, Bangunan Main Terminal Building, Lapangan Terbang KLIA. Antara barang yang dirampas adalah 5 pucuk pistol semi auto, 289 butir peluru hidup, wang tunai RM 294,850, SD 12,000,00, USD 129,000 dan 5 pasang gari (Laporan Tahunan Polis Diraja Malaysia 2008).

Jenayah harta benda pula di bahagikan kepada beberapa jenayah antaranya curi, curi lori/van, curi motokar, curi motosikal, curi ragut, pecah rumah siang, dan pecah rumah malam. Pada tahun 2007 bilangan jenayah indeks yang dilaporkan adalah berjumlah 174,423 kes. Namun begitu pada tahun 2008 bilangan jenayah indeks didapati menurun kepada 173,828 kes iaitu mengalami penurunan sebanyak 595 kes. Pada tahun 2009 juga, jenayah harta benda ini juga mengalami penurunan iaitu kepada 168,679 kes.

Jenayah komersial pula terdiri daripada jenayah tipu, pecah amanah jenayah, salah guna harta dengan curang. Jenayah siber, lain-lain tipu, pemalsuan, wang palsu, kad kredit, AMLA, APPW (Ah Long), kes VCD/DVD, TS’B’/LUCAH, dan lain-lain kes. Pada tahun 2007 bilangan jenayah indeks yang dilaporkan adalah berjumlah 10,160 kes dan telah meningkat sebanyak 7151 kes pada tahun 2008. Majoriti kes mengalami peningkatan kecuali kes salah guna harta dengan curang mengalami penurunan. Namun begitu penurunannya adalah hanya 1 kes sahaja.    

Jenayah narkotik pula merupakan jenayah yang berkaitan dengan dadah. Sepanjang tahun 2008, rampasan dadah yang di buat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menunjukkan peningkatan yang bagi dadah jenis syabu, ganja, heroin, pil yaba, ketamin, ecstacy dan eramin 5. Dari jumlah rampasan dadah ini, dilihat peralihan trend daripada dadah jenis tradisional kepada dadah sintetik. Trend dadah semasa juga menunjukkan pengedaran dadah tidak hanya tertumpu pada sejenis dadah sahaja tetapi pengedar memasarkan lebih daripada sejenis dadah.



4.0  DASAR DAN PENDEKATAN MALAYSIA MENGURANGKAN PERLAKUAN  JENAYAH.

Hasil daripada perbincangan terhadap senario jenayah di Malaysia dari segi trend adalah membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Ia sekali gus akan menjejaskan kualiti hidup penduduk. Dalam hal ini, terdapat segelintir masyarakat yang sering menuding jari kepada pihak berkuasa polis di atas segala kegagalan dan ketidakberkesanan pencegahan jenayah yang dilakukan. Menyedari kepada peningkatan trend perlakuan jenayah yang mengundang kewujudan permasalahan sosial dan melambangkan kepincangan negara, pihak kerajaan Malaysia komited dalam usaha mengurangkan perlakuan jenayah selari dengan pembangunan negara.
Dalam hal ini, pelbagai dasar, usaha dan pendekatan dilakukan bagi menangani peningkatan perlakuan jenayah seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya. Komited pihak kerajaan dalam hal ini diperlihatkan sejak pemerintahan mantan Perdana Menteri Ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad. Pendekatan awal beliau dalam mengurangkan perlakuan jenayah diperlihatkan dengan penubuhan Yayasan Pencegahan Malaysia (Malaysia Crime Prevention Foundation) pada bulan Januari 1993. Penubuhan ini telah membolehkan negara terlibat secara langsung dalam forum berkaitan pencegahan jenayah yang telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Asia Crime Prevention (ACPF) di Shozuka, Jepun. Walaupun Yayasan Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan itu merupakan badan bukan kerajaan (NGO), namun mandat yang diberikan oleh kerajaan membolehkan badan ini memainkan peranannya dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pelbagai program pencegahan jenayah di Malaysia (Jamaludin Mustaffa, 2007: 5-6).

            Selain itu, pihak kerajaan juga telah menjadikan pengurangan jenayah sebagai teras dan agenda dalam pembangunan negara iaitu dalam Rancangan Malaysia 5 Tahun selain peningkatan kualiti hidup. Rancangan 5 Tahun merupakan pelan struktur pembangunan negara yang dibentuk bagi setiap tempoh 5 tahun. Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7), merupakan rancangan Malaysia yang mula mengetengahkan aspek jenayah dalam pembangunan negara. Agenda pengurangan jenayah terkandung dalam Teras ke-4 iaitu meningkatkan kemampuan kualiti hidup. Bagi tujuan ini, di bawah Rancangan Malaysia ke-9, kerajaan telah memperuntukkan RM21.2 bilion untuk keselamatan dan RM4.9 bilion untuk PDRM(Rancangan Malaysia ke-9, 2006). Kerajaan sangat komited membelanjakan berbilion ringgit untuk memantapkan dan menyediakan kemudahan yang terbaik kepada pihak PDRM seperti membina kuarters dan balai polis.

Dalam RMK-10 iaitu rancangan bagi tahun 2011 hingga 2015, aspek pengurangan dan pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan mewujudkan persekitaran ke arah meningkatkan kualiti hidup. Terdapat 7 perkara yang terkandung dalam aspek pengurangan jenayah. Antaranya ialah membangunkan kawasan kediaman berdaya maju dan menarik, membangunkan sistem pengangkutan awam yang mengutamakan rakyat, mentransformasikan penjagaan kesihatan iaitu untuk meningkatkan kualiti hidup, menyediakan akses kepada perumahan yang berkualiti dan mampu milik, menyediakan utiliti dan perkhidmatan awam lebih cekap, menjadikan jalan dan masyarakat lebih selamat dan menghargai khazanah alam sekitar.

Tambahan pula, agenda ini diteruskan oleh Perdana Menteri Ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pada ketika itu PDRM telah mengalami perubahan secara besar-besaran melalui penubuhan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan pengurusan PDRM (SDPPP) pada tahun 2005. SDPPP ditubuhkan bertujuan untuk membantu pihak PDRM mengatasi masalah jenayah negara, panduan dalam etika perkhidmatan kepolisan, pengurusan dan mempertingkatkan kualiti dan mutu kerja PDRM dan anggota PDRM keseluruhannya, dan meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan PDRM. Selain daripada itu, beliau juga turut melancarkan Pelan Strategik 5 tahun (PS5T) semasa sambutan Hari Polis ke-200 pada tahun 2007. Antara tujuan penubuhan ini ialah menurunkan kadar jenayah, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai polis dalam melaksanakan tugas, mewujudkan komuniti kepolisan, menjalinkan kerjasama dengan masyarakat, dan meningkatkan logistik, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) agar polis dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

                Kita dapat lihat bahawa pelbagai dasar yang dibuat bagi mengurangkan jenayah di negara ini. Ini dapat dibuktikan apabila pihak kerajaan telah memberi komitmen sepenuhnya semasa Pembentangan Belanjawan 2008 pada 7 September 2007. Antara pendekatan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan ialah memperuntukkan RM 6 bilion, membekalkan 200 unit kereta nasional dan 1600 komputer kepada pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat, menambahkan pengambilan 60,000 anggota baru dalam tempoh 5 tahun akan datang, membekalkan 1900 motosikal untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan, memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan ke pusat kawalan dan seterusnya menyokong usaha sektor swasta mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan mereka dengan mempercepatkan elaun modal yang mana ianya boleh dituntut selepas setahun ke atas pembelian alat kawalan dan keselamatan. 

            Selain daripada itu, Perdana Menteri ke-5 juga telah mengumumkan 6 pendekatan baru dalam membanteras jenayah semasa lawatannya ke PDRM Bukit Aman pada Januari 2008. Antaranya ialah beliau mewajibkan pemilik atau penyewa bangunan memasang CCTV. Peruntukan khas sebanyak RM75 juta untuk memasang kemudahan tersebut di beberapa kawasan strategik di seluruh negara. Walau bagaimanapun, selepas tiga minggu lawatan rasmi Perdana Menteri ke-5 ke PDRM Bukit Aman, Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu iaitu Tan Sri Musa Hassan telah mengambil beberapa pendekatan yang dilaksanakan secara bersepadu bagi membanteras jenayah iaitu pengambilan 3000 pegawai dan anggota bersara secara kontrak bermula pada Mac 2008, membuka 107 balai polis baru yang dinamakan sebagai Balai Polis Pengoperasian(BPP), membuka 55 pondok komuniti polis yang hanya memberi tumpuan kepada negeri Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur dan sebagainya.

            Merujuk kepada dasar-dasar serta pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, jelas menunjukkan kepada kita, bahawa kedua-dua mereka ini sangat komited dalam usaha untuk mengurangkan permasalahan jenayah yang dikatakan semakin meningkat saban tahun. Justeru itu, dasar dan pendekatan ini dilakukan secara berterusan sehingga kepimpinan Perdana Menteri ke-6 iaitu Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak.

 Pada September 2013, bertempat di Auditorium D8, Kompleks D, Putrajaya telah berlangsungnya Forum Pencegahan Jenayah (Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam) yang merupakan satu inisiatif memberi peserta peluang berbincang, melontarkan idea dan bertukar-tukar pendapat mengenai permasalahan jenayah pada ketika ini. Peserta yang terlibat terdiri daripada kakitangan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti PDRM, Penjara, JPAM, RELA, penuntut institusi pengajian tinggi, pesara-pesara kerajaan, ketua-ketua masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Hasil daripada forum ini, kita dapat lihat bahawa pihak kerajaan dan seluruh rakyat meletakkan harapan dan keyakinan yang tinggi terhadap kewibawaan, profesionalisme dan kecekapan PDRM untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara. Tanpa wujudnya suasana aman dan selamat, maka pelbagai dasar serta program pembangunan untuk meningkatkan sosioekonomi oleh kerajaan mahupun sektor swasta tidak akan mencapai matlamatnya. Malahan turut membantutkan pembangunan negara. Namun begitu, tanggungjawab mencegah jenayah, meningkatkan dan mengekalkan tahap keselamatan tidak sewajarnya dibebankan kepada pihak polis semata-mata. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mempunyai kesedaran terhadap jenayah dengan mengetahui sebab berlakunya jenayah serta kesan negatif perlakuan jenayah kepada masyarakat serta masa depan negara.

Menurut ahli sosiologi, untuk membanteras masalah jenayah ini, kita memerlukan suatu bentuk kawalan sosial. Kawalan sosial ini dibahagikan kepada 2 bentuk iaitu formal dan tidak formal. Untuk kawalan sosial yang berbentuk formal, ia dikendalikan oleh pihak kerajaan, melalui penguatkuasaan undang-undang, polis, tentera dan sebagainya. Manakala untuk yang tidak formal pula dengan cara mensosialisasikan individu dalam masyarakat supaya patuh kepada nilai dan norma serta peraturan melalui sistem kekeluargaan, pendidikan dan media massa. Proses sosialisasi merupakan satu proses yang dialami oleh setiap individu supaya dapat menjalankan peranan sebagaimana yang dijangkakan melalui kebiasaan yang dipraktikkan hari-hari tanpa merasa dipaksa.

5.0       KESAN DASAR DAN PENDEKATAN TERHADAP KADAR JENAYAH

Pelbagai pendekatan dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah jenayah di peringkat awal, namun begitu ia dilihat masih kurang berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini. Malahan aspek jenayah merupakan bidang yang diberi keutamaan dalam pembentukan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau dikenali sebagai National Key Result Area (NKRA) di bawah pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan artau Government Transformation Programme (GTP). Pada tahun 2009, melalui pelaksanaan NKRA dalam mengurangkan jenayah menunjukkan bahawa kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan yang mendadak bagi pelaksanaanya. Di Malaysia, indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 30.2% pada tahun 2009 berbanding 28.7% pada tahun 2008. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4,567 kes jenayah dilaporkan di Kuala Lumpur pada tahun 2009 menurun sekali ganda daripada 6,478 kes jenayah yang dicatatkan pada tahun 2008. Daripada sejumlah 14 jenis kategori jenayah di Malaysia, hanya 4 jenis jenayah sahaja yang mencatatkan peningkatan. Antaranya ialah jenayah harta benda, jenayah kekerasan, jenayah komersial dan jenayah komersial bersiri.

            Jenayah harta benda bagi nisbah 100,000 penduduk menunjukkan penurunan sebanyak 34.1 kes (5.4%). Namun begitu terdapat juga kategori kesalahan yang menunjukkan peningkatan iaitu kes ragut dan kes pecah rumah. Kes ragut telah mencatatkan peningkatan sebanyak 15.1%  manakala kes pecah rumah meningkat sebanyak 21.8% pada tahun 2009. Perbandingan jenayah kekerasan bagi nisbah 100,000 penduduk menunjukkan peningkatan sebanyak 7 kes bersamaan dengan 5.0%. kategori kesalahan yang menunjukkan peningkatan adalah kes samun berkawan tanpa senjata api dan rogol manakala bagi kesalahan lain menunjukkan penurunan. Antara kes yang popular pada tahun 2009 ialah kes pembunuhan hartawan kosmetik iaitu Datuk Sosilawati Lawiya dan kes rompakan bank.

Bagi jenayah komersial dan komersial bersiri di bawah kategori kesalahan  tipu telah menyumbang jumlah tertinggi iaitu sebanyak 13,384 kes (68%) daripada jumlah keseluruhan kes. Jenayah tipu dan siber juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara pada tahun 2009. Pada tahun ini juga, jumlah kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM845.5 juta pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM454.8 juta (54%). Kes tipu dan pecah amanah jenayah telah mencatatkan jumlah kerugian terbesar iaitu sebanyak RM1.27 bilion (98%) berbanding kerugian jenayah komersial pada tahun 2009.

Bagi tempoh 2008 sehingga 2009, negara telah digemparkan dengan tangkapan rakyat tempatan di luar negara yang terjebak dengan ‘keldai dadah’ yang didalangi warganegara asing. Walau bagaimanapun, tangkapan rakyat tempatan di luar negara sebagai ‘keldai dadah’ menurun sebanyak 31% pada tahun 2009 berbanding tahun 2008. Penurunan ini disebabkan oleh kerajaan telah menjalankan langkah pencegahan dengan mengadakan Task Force dengan tujuan meningkatkan tahap profesionalisme, kaedah penyiasatan sistematik, perolehan dan pengurusan risikan serta sokongan logistik. Selain daripada itu, kerajaan turut mengadakan ceramah kesedaran dan telah dipertingkatkan di semua peringkat.

6.0       PERLAKUAN JENAYAH DAN KESANNYA TERHADAP PEMBANGUNAN

Pembangunan merupakan satu aspek yang amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Setiap pembangunan itu perlu dirancang dengan rapi dan diseimbangkan antara pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial. Akibat daripada tiada perancangan rapi maka akan wujudlah pelbagai masalah. Antaranya ialah masalah kepada persekitaran dan manusia seperti jenayah, kemiskinan, kelaparan, kesesakan, petempatan, buta huruf, pencemaran dan sebagainya yang akan mengakibatkan tahap kualiti hidup di bandar-bandar semakin merosot.

            Perubahan dan pembangunan yang berlaku seiring dengan arus kemodenan akan membawa kepada masalah jenayah khususnya. Jenayah sering dikaitkan dengan perbuatan devian. Devian merupakan perlanggaran peraturan atau norma dalam sesebuah masyarakat. Ia juga membawa maksud bentuk tingkah laku yang menyimpang daripada norma-norma sosial dalam masyarakat. Devian terbahagi kepada dua iaitu devian yang bersifat formal dan tidak formal. Untuk devian bersifat formal, ia merupakan salah satu pelanggaran undang-undang atau peraturan formal yang dikenali sebagai jenayah. Manakala devian tidak formal pula merupakan pelanggaran norma sosial yang tidak tertulis dalam undang-undang. Devian ini berlaku berpunca daripada hasil lencongan daripada anomie.

            Dalam hal ini, kita boleh melihat bagaimana sesuatu ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Contohnya dari aspek jenayah dan pembangunan negara. Emile Durkheim mengatakan bahawa berlakunya perubahan masyarakat yang cepat kerana meningkatnya pembahagian kerja. Hal ini akan menghasilkan suatu kebingungan tentang norma, yang akhirnya membawa kepada keruntuhan norma-norma sosial yang mengatur perilaku masyarakat. Beliau telah menamakan keadaan ini sebagai anomie. Keadaan ini akan menyebabkan munculnya segala bentuk perilaku menyimpang (devian). Perkara ini akan dapat diselesaikan jika terdapatnya kawalan sosial.

            Antara kesan terhadap pembangunan negara apabila kadar jenayah meningkat ialah negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan membantutkan kerancakan pembangunan negara sekali gus keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang wujud dalam segelintir masyarakat. Perkara ini akan mengundang kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara sejajar dengan peningkatan gejala sosial dan sekali gus turut meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah.

            Setiap perubahan yang berlaku sama ada dari aspek sosial mahupun ekonomi turut memberi impak yang positif dan negatif dalam masyarakat. Menurut  hasil daripada kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa perlakuan jenayah sama ada jenayah harta benda atau jenayah kekerasan mempunyai perkaitan dengan impak ekonomi seperti peningkatan pengangguran, peningkatan kos sara hidup, kemiskinan hidup, status pendapatan yang rendah dan jurang perbezaan kekayaan dalam masyarakat. Selain daripada impak negatif daripada perubahan ekonomi, perubahan sosial seperti kepesatan bandar, hubungan keluarga yang renggang, hubungan kejiranan yang renggang, peningkatan penghijrahan penduduk ke bandar dan status pendidikan yang rendah. Peratusan persepsi responden terhadap impak perubahan ekonomi dan sosial kesan daripada kepesatan perbandaran dalam mempengaruhi perlakuan jenayah harta benda di Daerah Timur Laut. Berdasarkan kajian yang dijalankan , secara keseluruhannya dapatan menunjukkan bahawa perubahan sosial dan ekonomi berlaku kesan daripada kepesatan perbandaran mempunyai perkaitan dengan peningkatan perlakuan jenayah harta benda di Daerah Timur. Selain daripada itu, didapati perbandaran merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan perlakuan jenayah harta benda. Didapati daripada 236 orang responden yang terlibat dalam kajian, seramai 157 orang iaitu mewakili 66.5% bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa, masalah jenayah berlaku disebabkan oleh perubahan dan pembangunan pesat yang dibuat oleh negara bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Setiap negara tidak boleh lari daripada masalah jenayah ini.

            Kita dapat lihat bahawa pihak kerajaan sangat komited dalam mengurangkan kadar jenayah. Pelbagai dasar dan pendekatan yang telah dilakukan untuk mengurangkan masalah jenayah. Namun begitu, kita tidak boleh hanya menuding jari terhadap kerajaan, pihak polis dan sebagainya. Malah kita sebagai masyarakat seharusnya bersama-sama berganding bahu dalam menangani masalah jenayah ini. Apabila masalah jenayah menjadi tumpuan utama keprihatinan kebanyakan masyarakat maju dan membangun, maka banyaklah penyelesaian kepada masalah tersebut disarankan. Langkah-langkah yang disarankan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. Namun begitu, hanya sedikit sahaja daripada langkah-langkah penyelesaian

KESIMPULAN

Kesimpulannya, sesebuah negara itu tidak dapat lari dari masalah jenayah. Masalah ini dilihat berlaku di seluruh dunia negara maju dan sedang membangun. Malahan ia turut berlaku di negara yang miskin. Pemimpin Malaysia di lihat sangat komited dalam mengurangkan jenayah. Ketiga-tiga tokoh kepimpinan yang menerajui negara mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin membawa negara ke arah negara maju dan terbilang di persada dunia walaupun dalam era kepimpinan dan menggunakan pendekatan yang berbeza-beza. Pendekatan Tun Dr. Mahathir dapat dianggap sebagai batu asas dalam dasar pengurangan jenayah di Malaysia. Tun Abdullah Ahmad Badawi pula dilihat sebagai pemimpin yang memperkasakan PDRM bagi membolehkan keselamatan rakyat dan negara terus utuh. Pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak pula dilihat berperanan dalam memperkukuhkan dan mentransformasikan agenda aspek keselamatan negara ke arah yang lebih dinamik. Kegigihan dan komitmen kepimpinan negara dan kerajaan dalam mengurangkan perlakuan jenayah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dan agensi sama ada dalam dan luar negara. Ini merupakan penunjuk kepada kejayaan dan keberkesanan dasar atau pendekatan yang dilakukan negara. Kejayaan pengurangan jenayah ini dapat menjana kepada pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi ke arah negara yang lebih komprehensif dalam persaingan ekonomi global.

P/s ... nota ini bertujuan untuk berkongsi shaja... bnyak kesalahan yg aq buat tau... jgn men copy paste je... sbb ada yg aq letak x lengkap... nie excimnt aq sem lepas TAHUN 2/ sem 2... 2013/2014 ntok subjek perubahan sosial dan pembagunan.... aq ulang lg sekali..ada yg x lengkap...




No comments:

Post a Comment