NEVER EVER EVER GIVE UP!!!

IF YOU WANT TO MAKE YOUR DREAMS COME TRUE,
THE FIRST THING YOU HAVE TO DO IS WAKE UP!!!!

Thursday, January 15, 2015

IDEASIONAL, FENOMENOLOGI, DAN KONSEP RITUAL DAN SYMBOL DALAM PENDEKATAN ETNOGRAFI SERTA KAITKAN DENGAN KEHIDUPAN ORANG ASLI DAN MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK.

ASSALAMUALAIKUM.. OK NIE EXCIMNT AQ YG SETERUSNYA... HOPE DAPAT MEMBANTU.. THIS EXCIMNT FOR SUBJEK ETNOGRAFI MALAYSIA.

1.1       PENDAHULUAN
Penyelidikan secara umumnya dapat didefinisikan sebagai suatu bentuk aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan kebenaran tentang sesuatu isu yang timbul, mengembangkan ilmu, menguji teori atau mendapatkan maklumat baru tentang sesuatu topik yang mana pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara. Menurut The Collins International Dictionary, ia mendefinisikan penyelidikan sebagai suatu bentuk penyiasatan sistematik yang dilakukan untuk memperolehi fakta atau maklumat tentang sesuatu perkara. Di dalam sesebuah penyelidikan antropologi dan sosiologi, lazimnya terdapat pelbagai kaedah atau pendekatan yang akan digunakan bagi memudahkan pengkaji mendapatkan data atau maklumat tentang sesuatu perkara. Antara pendekatan yang serimgkali digunakan oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ialah pendekatan etnografi, fenomenologi, etnometodologi dan sebagainya. Walaupun begitu, kaedah pendekatan etnografi dilihat begitu banyak digunakan oleh ahli antropologi dalam menjalankan kajian terutamanya dalam kajian yang berkaitan dengan budaya sesebuah masyarakat atau kumpulan etnik.
Kajian etnografi berasal dari bahasa Greek iaitu ‘ethnos’ yang membawa maksud bangsa manakala ‘graphy’ merujuk kepada gambaran atau huraian. Pendekatan etnografi umumnya dapat dikategorikan sebagai suatu bentuk penyelidikan kualitatif yang memerlukan pemerhatian yang teliti. Menurut Sabitha Marican (2005), etnografi merupakan sejenis kajian lapangan yang berbentuk pemerhatian yang sering digunakan dalam kajian antropologi yang mana kajian ini umumnya dirujuk sebagai penyelidikan saintifik semulajadi. Didalam kajian etnogarafi terdapat 2 aliran atau cabang ilmu falsafah yang digunakan bagi memandu seseorang pengkaji dalam menjalankan kajian. Cabang ilmu falsafah itu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu pendekatan ontologi dan juga epistemologi. Ontologi merjuk kepada satu proses untuk mendapatkan pengetahuan mengenai sesuatu bidang yang wujud di alam ini manakala epistemologi merujuk kepada satu kajian berkaitan sifat-sifat ilmu dan bagaimana cara menjustifikasika ilmu yang diperolehi. Dalam erti kata yang lebih khusus, ontologi dapat didefinisikan sebagai satu kajian berkaitan sifat-sifat sesuatu perkara. Di dalam pendekatan ontologi, ia membahagikan bidang perspektif ontologi kepada 2 aliran falsafah yang berlainan iaitu aliran idealisme dan aliran realitivisme. Walaupun bidang ontology terbahagi kepada 2 aliran yang berbeza, namun aliran idealisme biasanya lebih kerap dan lazim digunakan dalam kajian etnografi. Idealisme atau ideasional merupakan andaian atau tanggapan awal sesorang pengkaji tentang sesuatu perkara tanpa dapat dipastikan kebenarannya atau dalam erti kata lain, idealisme merupakan suatu bentuk ilmu pengetahuan yang telah wujud dalam minda seseorang sejak dari awal lagi. Idealisme mempunyai kaitan yang rapat dengan pemikiran (mind) dan penaakulan. Sebagai contoh, kita mengandaikan bahawa orang asli yang bergigi hitam itu sebagai pengotor tetapi apabila kita mula memahami budaya mereka, kita dapat ketahui bahawa ia merupakan satu bentuk keunikan identiti mereka.  Selain daripada pendekatan etnografi, antropologi juga turut menggunakan pendekatan atau kaedah fenomenologi dalam menjalankan kajian. Pendekatan etnografi dan fenomenologi merupakan antara pendekatan yang sebenarnya lazim digunakan dalam sesuatu penyelidikan antropologi dan sosiologi. Hal ini kerana, kedua-dua pendekatan ini dilihat lebih sesuai dan tepat bagi memberikan gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara terutama sekali dalam aspek kajian tentang budaya sesebuah komuniti yang ingin dikaji. Selain itu, kaedah penyelidikan antropologi dan sosiologi uga dilihat mampu memberikan fakta yang tepat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, kaedah yang digunakan biasanya memerlukan pengkaji turun ke lapangan untuk mendapatkan gambaran yang sebenar.
Oleh itu, secara kesimpulannya, penyelidikan antropologi dan sosiologi sebenarnya mempunyai pelbagai pendekatan yang boleh digunakan bagi memberikan gambaran yang jelas atau menjawab segala persoalan terutamanya yang berkaitan dengan budaya sesebuah kumpulan etnik yang ingin dikaji.
1.2       PERSPEKTIF IDEASIONAL
Perspektif ideasional merupakan salah satu konsep yang biasanya digunapakai dalam bidang antropologi dan sosiologi terutamanya dalam kajian etnografi. Kaedah etnografi secara umumnya menggunakan 2 jenis pendekatan iaitu ontologi dan epistemologi. Dalam pendekatan ontologi pula, ia membahagikannya kepada 2 pendekatan yang berbeza iaitu idealisme dan realisme. Walaupun ontologi mempunyai 2 jenis pendekatan yang berbeza, kajian etnografi kebiasaannya lebih cenderung untuk mengunakan pendekatan idealisme atau dikenali juga sebagai ideasional berbanding dengan pendekatan realisme. 
Ideasional didefinisikan sebagai suatu bentuk makna yang menekankan kepada hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman-pengalaman realiti. Secara umumnya, konsep ideasional ini dilihat lebih menekankan kepada makna aspek-aspek yang berkaitan dengan pemikiran, tindakan dan kejadian atau sesuatu keadaan. Perspektif ideasional juga lebih sinomim dikenali sebagai aliran idealisme. Idealisme berasal daripada kata ‘ideal’ yang membawa maksud idea manakala ‘isme’ membawa maksud ajaran atau fahaman. Selain itu, idealisme juga dapat ditakrifkan sebagai suatu bentuk aliran falsafah yang memandang mental dan ideasional sebagai kunci utama yang akan membawa kepada suatu keadaan yang lebih bersifat realiti. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012), idealisme didefinisikan sebagai suatu sifat (sikap atau perbuatan) atau sesuatu bentuk cita-cita yang ideal dan unggul. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa idealisme merupakan satu bentuk idea yang berteraskan kepada kesedaran intelek dan sistem berfikir yang rasional dan logik yang digunakan untuk mengenalpasti sesuatu kebenaran. Bukan itu sahaja, malahan Plato menyatakan bahawa idealisme merupakan aliran falsafah yang memandang kenyataan (realiti) yang wujud dalam kehidupan bukanlah suatu kebenaran yang hakiki kerana menurut beliau, ia hanyalah suatu gambaran tentang idea-idea yang ada di dalam jiwa atau spirit manusia. 
Dari sudut antropologi, ia menyatakan bahawa perspektif ideasional ini sebenarnya menekankan bahawa hakikat tentang sesuatu perkara itu secara realitinya terletak dalam minda seseorang. Ianya biasanya dijelaskan dengan pernyataan bahawa secara realitinya, asas pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara diperolehi melalui pemerhatian atau pengalaman yang sememangnya telah wujud dalam diri seseorang individu. Sebagai contoh, bagaimana seseorang yang melihat sebuah buku yang berwarna biru seperti mana yang disampaikan oleh pancaindera kepada otak. Keadaan ini sememangnya diperakui oleh ahli fizik yang menyatakan bahawa warna adalah satu medium yang berfungsi untuk menggerakkan saraf optik yang akan membawa maklumat kepada otak. Namun begitu, secara realitinya, pengetahuan tentang perkara tersebut merupakan suatu bentuk maklumat yang sememangnya telah wujud dalam minda manusia sejak dari awal lagi. Selain daripada itu juga, perspektif ideasional atau idealisme ini juga dirujuk sebagai suatu proses konseptual yang terdiri daripada pecahan akal mutakhir dalam usaha yang digunakan oleh seseorang itu untuk mencari sesuatu kewujudan, pengetahuan dan nilai tentang sesuatu situasi atau keadaan (Johnson, 1969). Situasi ini jelas menyatakan bahawa perspektif ideasional ini sebenarnya lebih menekankan kepada konsep pemikiran sebagai asas dalam perbincangannya dimana aliran ini percaya bahawa semua proses yang dialami oleh fikiran atau pembentukan sesuatu pengetahuan adalah hasil daripada pemikiran yang mutlak. Dalam erti kata lain, aliran ini menetapkan bahawa asas kewujudan sesuatu perkara itu adalah dalam bentuk pemikiran dan bukannya dalam bentuk fizikal. Hal ini kerana, aliran ini berpegang kuat kepada konsep penaakulan sebagai asas pembinaan idea atau pengetahuan. 
Selain daripada itu, perspektif ideasional ini secara umumnya banyak digunakan oleh tokoh-tokoh seperti Plato, Rene Descartes, Barush Spinoza dan sebagainya. Hal ini kerana, Plato merupakan pengasas aliran ideasional atau idealisme (427-374 SM). Plato berpendapat bahawa pengetahuan sebenar seseorang diperolehi hasil daripada proses penaakulan semata-mata. Sebagai contoh, secara idealnya, apa yang ada dalam minda manusia berkaitan dengan sifat-sifat manusia adalah baik tetapi jika dilihat dari aspek realitinya yang sebenar, sifat manusia sebenarnya sukar untuk difahami. Andaian ini biasanya diperolehi melalui pengetahuan, pengalaman dan sebagainya tanpa diketahui kebenarannya tentang sesuatu perkara. Selain itu, Plato juga menyatakan bahawa asas kepada pengetahuan seseorang adalah bermula daripada pemikiran atau andaian yang wujud. Perspektif ini seringkali digunapakai oleh pengkaji antropologi khususnya dalam kajian yang berkaitan dengan budaya seseorang. Selain itu, W.F. Hocking juga mendefinisikan perspektif ideasional sebagai satu kesinambungan yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa dan bukannya sesuatu bentuk benda yang bersifat material. Situasi ini menunjukkan bahawa W.F. Hocking melihat konsep ‘mind’ sebagai suatu bentuk elemen yang paling penting dalam perspektif ideasional. Hal ini kerana, jika dilihat secara keseluruhanya, perbincangan ideasional banyak menyentuh tentang konsep ‘mind’.
Secara ringkasnya, ideasional ini sebenarnya dapat ditakrifkan sebagai suatu andaian atau tanggapan awal seseorang tentang sesuatu perkara tanpa ada bukti atau fakta yang sebenarmya. Dalam erti kata lain, idealisme atau perspektif ideasional dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk andaian atau hipotesis awal yang dibuat oleh seseorang sebelum pergi ke lapangan untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya. Hal ini kerana, perspektif ini mempunyai kaitan yang rapat dengan aspek pemikiran seseorang. Sebagai contoh, dalam kajian berkaitan dengan budaya masyarakat orang asli. Sebelum menjalankan kajian, seseorang pengkaji mengandaikan atau membuat tanggapan awal bahawa masyarakat orang asli ini tidak moden, pengotor, tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan sebagainya. Namun, apabila pengkaji melihat sendiri budaya dan cara hidup mereka, seseorang pengkaji itu mendapati bahawa apa yang difikirkan oleh mereka pada peringkat awal adalah salah. Hal ini kerana, apabila mereka melihat sendiri cara hidup masyarakat orang asli, mereka mendapati bahawa mereka telah mengalami pemodenan dan telah mula mengamalkan cara hidup seperti masyarakat lain. Sebagai contoh, mereka tidak lagi menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk membasuh pakaian sebaliknya, mereka telah mula menggunakan sabun untuk mencuci. Keadaan ini secara tidak langsung telah dapat menerangkan bahawa ideasional atau idealisme adalah merupakan satu bentuk pemikiran atau andaian yang telah wujud dalam minda manusia tanpa diketahui fakta yang sebenarnya. Andaian itu dibuat hanya berdasarkan pemerhatian yang dibuat semata-mata tanpa mendalami budaya mereka. Selain itu, kita melihat orang asli yang berkulit hitam sebagai seorang yang pengotor. Namun, hakikat sebenarnya apabila kita mendalami budaya mereka, kita mendapati bahawa hitam itu merupakan satu bentuk identiti mereka yang unik.
Oleh itu, secara keseluruhannya, perspektif ideasional atau idealisme ini sebenarnya merupakan satu set andaian atau tanggapan yang wujud dalam minda seseorang berdasarkan pemerhatian yang dibuat tanpa ada sebarang bukti yang benar. Selain itu, idealisme juga menekankan bahawa hakikat tentang sesuatu perkara itu secara realitinya terletak dalam minda seseorang. Hal ini kerana, perspektif ideasional mempunyai kaitan yang rapat dengan penaakulan.
1.3       PERSPEKTIF FENOMENOLOGI
Pendekatan atau perspektif fenomenologi atau lebih dikenali sebagai satu teori yang bernaung di bawah paradigma definisi sosial merupakan satu tradisi kualitatif yang berakar umbikan falsafah dan psikologi serta fokus kepada pengalaman hidup manusia. Pendekatan fenomenologi hampir sama dengan pendekatan hermeneutics yang menggunakan pengalaman hidup sebagai alat atau kaedah untuk memahami sosial, budaya, politik mahupun dalam konteks sejarah dimana ianya terjadi. Namun, berbeza dengan teori atau pendekatan sosial yang lain, fenomenologi mengatakan bahawa kenyataan sosial tidak bergantung kepada makna yang diberikan oleh individu, tetapi melihat kepada kesedaran atau pengalaman subjektif seseorang individu.  Ini kerana tingkah laku manusia sangat dipengaruhi oleh pandangan individu terhadap diri dan dunianya berdasarkan kesedaran atau keadaan sebenar dirinya. Ini bermakna, fenomenologi tidak melihat kepada makna yang diberikan tetapi berdasarkan kesedaran atau pengalaman dalam melihat tingkah laku seseorang.
            Pendekatan fenomenologi digunakan dalam bidang sosiologi melalui karya Alfred Shutz yang dipengaruhi oleh ahli falsafah Jerman iaitu, Edumund Husserl. Tetapi pendekatan fenomenologi alam bidang sosiologi mulai terkenal dengan menggunakan idea-idea fenomenologi P.Berger dan T. Luckman dalam karya mereka Essential Features of Face to face Interaction (1973). Dalam karya ini, mereka mengandaikan bahawa interaksi dari muka ke muka merupakan perkara asas dari fenomena atau pengalaman yang lebih kompleks dan luas. Mereka melihat sesuatu perkara itu daripada pendekatan individu terutamanya tentang kesedaran. Dalam hujahan mereka tentang fenomenologi, mereka telah membahagikan elemen-elemen daripada interaksi kepada tiga komponen utama iaitu ciri-ciri pelaku, ciri-ciri di antara pelaku, dan juga ciri-ciri perlakuan pelaku.
            Berkisar tentang sejarah awal kemunculan idea Fenomenologi pula seperti mana yang telah dinyatakan tadi bahawa ianya telah diterap ke dalam bidang sosiologi melalui pemikiran Alfred Schutz yang dipengaruhi oleh Edmund Husserl. Oleh itu, sejarah awal pendekatan fenomenologi adalah bermula daripada pemikiran Husserl (1859-1938) yang juga dikenali sebagai bapa fenomenologi. Menurut Husserl, manusia hanya akan mengenal atau memahami dunia sosial melalui pengalaman. Setiap sesuatu yang berlaku dalam dunia sosial ini diterima daripada pengalaman pancaindera dan dapat dikenalpasti atau difahami melalui kesedaran. Setiap perkara termasuklah kewujudan individu lain, norma-norma dan nilai dalam masyarakat, dan sebagainya sering dikenalpasti melalui pengalaman yang disedari oleh manusia. Namun, disebabkan oleh kesedaran manusia itu terbatas, sukar untuk mengenalpasti sesuatu perkara itu sebagai nyata atau realiti yang boleh diterima umum dan dijadikan satu fakta sosial.
            Dalam mengenalpasti pengalaman yang membawa kepada tingkah laku individu ini, Husserl menggunakan istilah dunia persekitaran (alamiah) bagi dunia yang dihuni manusia atau dunia yang diterima begitu sahaja dalam kehidupan manusia dari hari ke hari dan kemudiannya beliau menggunakan istilah dunia kehidupan pula dalam menerangkan ruang lingkup kesedaran tentang pengalaman manusia. Melaluinya, beliau menegaskan bahawa manusia hidup dan bertingkah laku di dalam dunia atau ruang yang diterima begitu sahaja dalam masyarakat atau sosial. Kehidupan manusia dalam setiap hari terdiri daripada pelbagai unsur iaitu objek, orang, tempat, ilmu atau pengetahuan dan sebagainya dilihat, difahami dan diterima oleh masyarakat sebagai suatu fakta dan kemudiannya menentukan parameter untuk setiap perkara yang mereka lakukan termasuklah tentang amalan dan adat istiadat.
            Dalam ideanya, Husserl menekankan kepada dua perkara yang menjadi asas kepada fenomenologi moden. Pertamanya, beliau menekankan bahawa manusia menerima kehidupan mereka begitu sahaja yang akan mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertingkah laku. Di mana, kehidupan harian yang sudah sebati itu menjadi fakta dalam kehidupan dunia manusia dan sangat mempengaruhi keseluruhan hidup manusia. Selain itu, Husserl juga mengatakan bahawa manusia hidup dengan andaian bahawa mereka melalui dunia yang sama. Tetapi disebabkan oleh setiap orang mempunyai kesedaran terhadap pengalaman hidup yang berbeza-beza, maka tidak dapat dipastikan sama ada andaian tersebut benar ataupun tidak. Namun, Husserl tetap percaya bahawa manusia cuba beranggapan bahawa mereka melalui perkara yang sama atau kehidupan di dalam dunia sosial yang sama meskipun mereka tidak dapat memastikannya.
            Pendekatan fenomenologi Husserl lebi kepada bersifat radikal yang memberi ilham kepada Alfred Schutz dalam ideanya iaitu fenomenologi moden. Ini kerana Schutz menggunakan pendekatan fenomenologi Husserl dengan teori tingkah laku (action theory) Max Weber dan juga teori interaksionalisme simbolik yang akhirnya membentuk fenomenologi moden seperti yang difikirkan oleh beliau. Pertamanya, analisis Schutz berkenaan dengan idea Max Weber terutamanya tentang ‘tindakan sosial’. Di mana, Schutz melihat kepada konsep tindakan Weber dalam karyanya “The Phenomenology of Social World”. Beliau mengkritik idea Weber berkaitan kegagalan Weber dalam menggunakan metod dan mengkaji mengapa dan bagaimana para pelaku sosial dapat memberi makna subjektif yang sama terhadap sesuatu perkara. Setiap persamaan dalam perilaku manusia seperti tentang idea atau pengetahuan, pandangan, pengalaman dan sebagainya dipersoalkan. Bagi Schutz, keadaan ini merupakan satu masalah subjektif dan menjadi suatu hal yang penting dalam idea intelektualnya.
            Seterusnya, meskipun terpengaruh dengan idea Husserl tentang fenomenologi, Schutz tidak lagi menggunakan konsep-konsep radikal yang digunakan oleh Husserl. Misalnya tentang hukum-hukum berkaitan dengan kesedaran manusia. Tetapi beliau menerima dan menggunakan konsep Husserl tentang dunia kehidupan iaitu dunia sehari-hari manusia dan sikap alamiah ataupun semulajadi manusia yang diterima, diterap begitu sahaja sehingga mempengaruhi mereka dalam bertindak dan bertingkah laku. Schutz juga mengakui bahawa dalam dunia kehidupan, manusia mempunyai dan melalui kehidupan sosial yang sama dan bertingkah laku seperti mereka telah hidup dalam dunia kehidupan yang sama. Selain daripada menerima idea fenomenologi Husserl, Schutz juga menerima metod yang digunakan oleh Weber dalam memahami dan mendalami interaksi yang wujud dalam masyarakat dan bukannya dalam bentuk radikal atau dunia kehidupan yang sama.
            Pendekatan fenomenologi Schutz kemudiannya dipengaruhi oleh interaksionalisme simbolik apabila beliau berpindah ke Amerika Syarikat. Pengaruh pendekatan interaksionalisme simbolik daripada G.H. Mead dan W.I. Thomas sangat berpengaruh terhadap idea pemikiran Schutz. Schutz menggabungkan konsep Thomas tentang definisi situasi dan konsepnya tentang intersubjektif. Schutz juga berpegang kepada pendapat Thomas tentang definisi di mana situasi atau sesuatu keadaan itu dipelajari daripada pengalaman masa lampau dan dijadikan sebagai rujukan untuk membuat suatu tindakan pada hari ini. Manakala, pengaruh dari Mead terhadap Schutz pula adalah tentang konsep pengambilan peranan. Di mana, di dalamnya seorang pelaku mengambil sikap orang lain melalui gerak-geri tubuh. Dalam hal ini, Mead sangat tertarik dengan proses di mana pelaku-pelaku itu boleh mengetahui peranan satu sama lain dan menjadi penanda aras bagi pelaku yang lain untuk bertingkah laku dalam cara atau keadaan yang sama.
            Berdasarkan pengaruh-pengaruh daripada idea tokoh-tokoh lain, Schutz telah keluar dengan satu idea atau pendekatan yang berbeza daripada interaksionalisme simbolik. Menurut Schutz, manusia melalui kehidupan dengan membawa bersama peraturan-peraturan tentang tingkah laku yang tepat, konsep-konsep, nilai-nilai, dan sebagainya untuk dijadikan petunjuk bagi membantu mereka bertingkah laku dengan baik dan bersesuaian dalam dunia sosial. Schutz melihat keseluruhan cara hidup seperti norma dan nilai sebagai stok pengetahuan yang telah tersedia dan menjadi rujukan kepada seorang individu dalam bertindak balas terhadap sesuatu yang terjadi di sekitarnya.
            Konsep stok pengetahuan telah dipinjam daripada idea Husserl tetapi disesuaikan dengan konsep Mead tentang “generalized other”. Schutz juga menerima idea tentang dunia sosial adalah sama dan diterima begitu sahaja oleh manusia di dalam pendekatan fenomenologinya yang mana disebut sebagai kebiasaan atau rutin dalam interaksionalisme simbolik. Namun masih terdapat perbezaan idea Schutz dari Husserl dan interaksionalism simbolik seperti mana yang telah dinyatakan di atas. Di mana, manusia bertingkah laku dengan andaian bahawa mereka melalui satu dunia sosial yang sama dan mempunyai perasaan tentang dunia sosial yang sama merupakan satu perkara yang penting dalam mempertahankan keteraturan sosial dalam dunia sosial yang sama itu. Idea Schutz dalam fenomenologi ini juga telah berjaya mengeluarkan fenomenologi daripada pengaruh falsafah dan menggunakannya dalam pendekatan sosiologi. Beliau telah menggunakan konsep Husserl tentang dunia kehidupan dengan proses interaksi yang menjadi asas dalam kehidupan.  Schutz melihat manusia atau masyarakat hidup di dalam dunia sosial yang sama dengan cara mereka saling berinteraksi dan berurusan dengan satu sama lain.
            Secara keseluruhannya, pendekatan fenomenologi ini menekankan kepada pengalaman subjektif seseorang individu kerana sesebuah tingkah laku itu sangat dipengaruhi oleh pandangan individu terhadap dirinya dan juga dunia sosialnya. Setiap perkara dalam kehidupan sangat berkait dengan unsur kesedaran atau keadaan sebenar seseorang individu melihat tingkah laku seseorang berdasarkan fenomena tentang dirinya sendiri. Misalnya, dalam masyarakat Iban di Sabah dan Sarawak. Mereka bertingkah laku atau mengamalkan adat-adat dan peraturan dalam kehidupan mereka seperti dalam upacara ‘Miring’ berdasarkan pengalaman atau fenomena yang pernah dilalui oleh orang sebelum mereka. Mereka melihat, menghayati dan menjadikannya sebagai petunjuk dalam mengamalkan upacara ‘Miring’ yang diadakan pada hari Gawai setiap tahun.
1.4       RITUAL DAN SIMBOL DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI DAN IBAN      DI SABAH DAN SARAWAK
Budaya dan agama saling berkaitan. Setiap budaya mempunyai agama yang dominan. Agama mempengaruhi amalan ritual, penceritaan, taboo dan istiadat dalam sesebuah budaya. Walaupun mempunyai agama yang berbeza namun terdapat persamaan yang wujud dalam setiap agama sebagai contoh kitab suci. Selain itu, setiap agama mempunyai pengasas agama dan agama juga mempunyai amalan tradisional ritual atau sebarang perlakuan yang menandakan simbol atau mesej agama dalam amalan. Peranan agama secara tidak langsung dapat menonjolkan kebudayaan sesebuah masyarakat termasuklah masyarakat Orang Asli dan masyarakat Iban.
Menurut Ma’Rof, 2010 (dlm. Rohayu (2013)), masyarakat Orang Asli merupakan kaum minoriti penduduk Malaysia dan merupakan satu-satunya komuniti peribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Mengikut bancian pada tahun 2010, bilangan Orang Asli ialah seramai 178 179 orang. Dari segi penempatan masyarakat Orang Asli sebanyak 38% masyarakat Orang Asli tinggal di pedalaman, 61% tinggal di pinggir Bandar dan 1% tinggal di kawasan Bandar. Mereka terdiri daripada tiga suku bangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto. Setiap suku bangsa ini dipecahkan kepada enam suku kaum yang mana mereka bertutur dalam pelbagai bahasa selain daripada dialek Melayu tempatan (JAKOA, 2011).
Masyarakat orang asli sememangnya kaya dengan adat resam dan budaya kerana kehidupan mereka masih berkait rapat dengan alam semula jadi walaupun ada yang sudah memasuki dunia moden. Adat dan kepercayaan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan makhluk ghaib. Kehidupan mereka penuh dengan mistik dan kepercayaan kepada alam sekeliling. Seni ukiran kayu di antara aktiviti seni yang masih terpelihara sehingga kini. Seni ukiran kayu merupakan satu aktiviti untuk mengisi masa lapang dan turut digunakan semasa upacara ritual. Menurut Norasmah & Husnorhafiza (2011), daripada 18 suku masyarakat Orang Asli yang terdapat di negara ini, hanya suku kaum Mah Meri dan Jah Hut yang mendominasi seni ukiran kayu khususnya ukiran patung dan topeng.
            Ketika menyambut hari-hari kebesaran bagi sesebuah masyarakat mereka, amalan mengubat penyakit tetap dijalankan mengikut tradisi yang melibatkan jampi serapah diiringi dengan tarian-tarian tertentu. Jika diteliti kebanyakan bentuk tarian dan nyanyian mereka bukan sekadar hiburan semata-mata, malah peranannya lebih mendalam daripada apa yang dijangka. Tarian dan nyanyian merupakan perantaraan untuk mengubati penyakit, menghalau unsur-unsur jahat dan menjaga keselamatan kampung daripada gangguan makhluk-makhluk lain.
            Tarian Lilin merupakan satu tarian yang popular di kalangan suku Temuan, Jah Hut dan Che Wong yang terdapat di daerah Raub mempunyai makna tersendiri ketika dimainkan pada hari keramaian majlis perkahwinan dan selepas menuai padi. Mereka menganggap kekuatan lilin yang terdapat pada piring mampu menjadi asas yang kukuh walaupun tapaknya tidak besar di samping berupaya menerangi orang lain. Begitu juga dengan tarian Sewang yang popular di kalangan masyarakat Orang Asli Semai yang dijalankan sebagai penyembahan kepada makhluk ghaib, mengubati penyakit dan sebagainya.
Secara umumnya, sewang boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut keperluan sesuatu upacara. Setiap satu ada perbezaan dari segi fungsi sama ada diadakan untuk tujuan perubatan, membuka pantang kematian, keramaian seperti menyambut tetamu dan meraikan perkahwinan, membuka lading, mengawal makhluk-makhluk halus dan sebagainya. Dalam upacara sewang, pelbagai peralatan yang digunakan mengikut jenis upacara yang akan diadakan dan setiap peralatan tersebut mempunyai simbol-simbol tertentu.
Selain itu, masyarakat Orang Asli terkenal dengan aktiviti memburu hasil hutan. Hampir kesemua suku kaum Orang Asli di Malaysia memburu binatang menggunakan sumpit. Sumpitan menjadi lambang suku kaum Bateq di samping untuk mendapatkan sumber makanan iaitu dengan menyumpit binatang. Setiap lelaki dewasa wajib mempunyai kepakaran menggunakannya sebelum berumah tangga. Kehebatan seseorang pemuda Bateq terserlah apabila berjaya ‘menembak’ sasarannya dengan tepat. 
Kaum Iban dikategorikan ke dalam kumpulan Melayu-Proto iaitu sama dengan orang Melayu Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Suatui ketika dahulu, kaum Iban lebih dikenali dengan panggilan ‘Sea Dayak’ atau Dayak Laut bagi warga asing. Panggilan tersebut disebabkan mereka biasanya bergerak di kawasan laut sebagai lanun dan juga menjadi pelayar yang handal (Roth, 1968).
Masyarakat Iban berasal dari Sarawak dan merupakan suku kaum terbesar di Sarawak. Dari segi sejarahnya, orang Iban ialah satu kaum yang suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa. Masyarakat Iban juga amat terkenal dengan keberanian pahlawan-pahlawannya memenggal kepala musuh-musuhnya semasa berperang pada zaman dahulu. Orang Iban yang tinggal bersama dalam sebuah rumah panjang memerlukan adat dalam mengawal hubungan antara penghuni agar keamanan dan ketenteraman sentiasa wujud.
Agama tradisi masyarakat Iban ialah kepercayaan mereka yang berkaitan dengan kepercayaan animisme. Animisme masyarakat Iban bermaksud kepercayaan mereka kepada banyak Tuhan. Contohnya mereka ada Tuhan khas untuk kegiatan penanaman padi iaitu ‘Pulang Gana’, Tuhan ekspedisi perang “Sengalang Burung’ serta Tuhan pencipta manusia yang dikenali sebagai ‘Selampandai’. Tuhan-tuhan itu mesti diberi makan dengan ‘piring’ untuk mendapatkan sesuatu hajat. Mereka melihat roh, kuasa luar biasa itu sebagai sesuatu yang suci, kudus, sakral dan oleh itu berlaku proses pemujaan. Mereka memuja dengan melahirkan pelbagai upacara atau ritual kepercayaan.
Masyarakat Iban melihat sakral sebagai sesuatu yang berkomunikasi dengan mereka maka berlaku komunikasi antara kuasa ghaib dengan masyarakat tersebut. Ia boleh berlaku komunikasi dalam bentuk mantera. Ia menurunkan wahyu, boleh jadi dalam bentuk suruhan atau dalam bentuk ugutan. Segala kesucian melahirkan kebaikan yang ditunjukkan dalam kehidupan manusia. Ia dilahirkan melalui upacara ritual. Di dalam ritual ini ada perlakuan-perlakuan dan perlakuan-perlakuan tersebut adalah tertakluk kepada idea yang ditetapkan contohnya dalam upacara ritual ‘miring’ yang bermaksud memberi makan kepada Tuhan.
Dalam upacara-upacara ritual masyarakat Iban, hanya ‘manang’ atau lebih dikenali sebagai bomoh sahaja yang dapat melihat dan menangkap semangat. Kaum Iban yang biasa tidak berkemampuan untuk berbuat demikian. Manang dikenali sebagai dukun Iban yang pakar mengubati penyakit sama ada disebabkan oleh hantu jembalang atau terkena buatan orang. Mereka akan berubat dengan ‘manang’ kerana ‘manang’ ada memiliki sejenis batu yang dikenali sebagai ‘Batu Ilau’ atau batu ajaib yang boleh digunakan untuk menilik penyakit si pesakit dan boleh menyembuhkan penyakit tersebut.
Suku kaum Iban terkenal dengan daun telinga yang panjang kerana beban berat dari giwang yang dipakai. Ia menjadi lambang kecantikan seseorang. Disamping itu, telinga yang panjang turut menjadi simbol kepada kedudukan status sosial seseorang. Biasanya mereka yang mempunyai daun telinga yang panjang terdiri daripada golongan bangsawan.
            Selain terkenal dengan telinga panjang, kaum Iban turut terkenal dengan tatu di tubuh mereka. Tatu lebih dikenali sebagai ‘pantang’. Tatu adalah simbol kelelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki. Sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari, lengan dan paha. Sementara wanita Iban pula mempunyai tatu di bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain berfungsi sebagai penghias diri. Masyarakat Iban menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman pengembaraan dan pencapaian seseorang. Corak-corak yang menjadi pilihan dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit. Tatu ‘Bunga Terung’ biasanya terdapat pada kedua-dua bahu lelaki masyarakat Iban. Suatu ketika dahulu, lelaki Iban akan mencacah tatu berbintik kecil di tangan dipanggil ‘tengulun’ yang menandakan mereka pernah memenggal kepala musuh. Bilangan tatu itu bergantung kepada berapa banyak mangsa yang berjaya dibunuh.
1.5       KESIMPULAN
Kesimpulannya, dalam kajian etnografi, pendekatan ideasionalisme dan fenomenologi adalah penting dalam memahami dan mendekati satu-satu subjek kajian. Hal ini demikian kerana, dalam kajian etnografi, subjek kajian terdiri daripada sesebuah masyarakat dan bukannya terhad kepada individu sahaja. Pengkaji perlu memasuki sesebuah masyarakat seperti etnik ataupun kaum bagi mendapatkan data yang dikehendaki. Etnografi sebagai sebuah kajian yang dijalankan bagi mendalami budaya sesebuah masyarakat memerlukan pengkaji menggunakan pendekatan ideasioanal dan fenomenologi atau inilah yang dinamakan sebagai pemerhatian ikut serta, di mana pengkaji harus tinggal dalam satu tempoh yang lama bersama dengan subjek kajian. Misalnya dengan mengusai pendekatan fenomenologi, pengkaji menggunakan pengalaman sendiri semasa tinggal bersama dengan subjek kajian dalam mempersembahkan data. Contohnya, berkaitan dengan adat perkahwinan dan kematian dalam masyarakat Orang Asli yang pastinya berbeza-beza mengikut suku.

            Selain itu, dalam menjalankan kajian berbentuk etnografi, dua konsep yang sangat penting adalah ritual dan simbol. Ini kerana, ritual dan simbol merupakan satu perkara yang berbeza-beza dalam masyarakat dan merupakan identiti sesebuah masyarakat. Misalnya, pemakaian tatoo dalam masyarakat Iban sebagai satu simbol atau tanda kekuatan. Oleh itu, seorang pengkaji perlulah memahami setiap ritual dan simbol yang berbeza dalam masyarakat dan perlu menerimanya dengan meninggalkan segala unsur bias, etnosentrisme dan sebagainya. Seorang pengkaji itu perlu bersikap bebas nilai atau free value dalam menjalankan sesebuah kajian kerana ianya melibatkan masyarakat dan budaya yang berbeza-beza.

No comments:

Post a Comment