NEVER EVER EVER GIVE UP!!!

IF YOU WANT TO MAKE YOUR DREAMS COME TRUE,
THE FIRST THING YOU HAVE TO DO IS WAKE UP!!!!

Thursday, January 15, 2015

IDEASIONAL, FENOMENOLOGI, DAN KONSEP RITUAL DAN SYMBOL DALAM PENDEKATAN ETNOGRAFI SERTA KAITKAN DENGAN KEHIDUPAN ORANG ASLI DAN MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK.

ASSALAMUALAIKUM.. OK NIE EXCIMNT AQ YG SETERUSNYA... HOPE DAPAT MEMBANTU.. THIS EXCIMNT FOR SUBJEK ETNOGRAFI MALAYSIA.

1.1       PENDAHULUAN
Penyelidikan secara umumnya dapat didefinisikan sebagai suatu bentuk aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan kebenaran tentang sesuatu isu yang timbul, mengembangkan ilmu, menguji teori atau mendapatkan maklumat baru tentang sesuatu topik yang mana pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara. Menurut The Collins International Dictionary, ia mendefinisikan penyelidikan sebagai suatu bentuk penyiasatan sistematik yang dilakukan untuk memperolehi fakta atau maklumat tentang sesuatu perkara. Di dalam sesebuah penyelidikan antropologi dan sosiologi, lazimnya terdapat pelbagai kaedah atau pendekatan yang akan digunakan bagi memudahkan pengkaji mendapatkan data atau maklumat tentang sesuatu perkara. Antara pendekatan yang serimgkali digunakan oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ialah pendekatan etnografi, fenomenologi, etnometodologi dan sebagainya. Walaupun begitu, kaedah pendekatan etnografi dilihat begitu banyak digunakan oleh ahli antropologi dalam menjalankan kajian terutamanya dalam kajian yang berkaitan dengan budaya sesebuah masyarakat atau kumpulan etnik.
Kajian etnografi berasal dari bahasa Greek iaitu ‘ethnos’ yang membawa maksud bangsa manakala ‘graphy’ merujuk kepada gambaran atau huraian. Pendekatan etnografi umumnya dapat dikategorikan sebagai suatu bentuk penyelidikan kualitatif yang memerlukan pemerhatian yang teliti. Menurut Sabitha Marican (2005), etnografi merupakan sejenis kajian lapangan yang berbentuk pemerhatian yang sering digunakan dalam kajian antropologi yang mana kajian ini umumnya dirujuk sebagai penyelidikan saintifik semulajadi. Didalam kajian etnogarafi terdapat 2 aliran atau cabang ilmu falsafah yang digunakan bagi memandu seseorang pengkaji dalam menjalankan kajian. Cabang ilmu falsafah itu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu pendekatan ontologi dan juga epistemologi. Ontologi merjuk kepada satu proses untuk mendapatkan pengetahuan mengenai sesuatu bidang yang wujud di alam ini manakala epistemologi merujuk kepada satu kajian berkaitan sifat-sifat ilmu dan bagaimana cara menjustifikasika ilmu yang diperolehi. Dalam erti kata yang lebih khusus, ontologi dapat didefinisikan sebagai satu kajian berkaitan sifat-sifat sesuatu perkara. Di dalam pendekatan ontologi, ia membahagikan bidang perspektif ontologi kepada 2 aliran falsafah yang berlainan iaitu aliran idealisme dan aliran realitivisme. Walaupun bidang ontology terbahagi kepada 2 aliran yang berbeza, namun aliran idealisme biasanya lebih kerap dan lazim digunakan dalam kajian etnografi. Idealisme atau ideasional merupakan andaian atau tanggapan awal sesorang pengkaji tentang sesuatu perkara tanpa dapat dipastikan kebenarannya atau dalam erti kata lain, idealisme merupakan suatu bentuk ilmu pengetahuan yang telah wujud dalam minda seseorang sejak dari awal lagi. Idealisme mempunyai kaitan yang rapat dengan pemikiran (mind) dan penaakulan. Sebagai contoh, kita mengandaikan bahawa orang asli yang bergigi hitam itu sebagai pengotor tetapi apabila kita mula memahami budaya mereka, kita dapat ketahui bahawa ia merupakan satu bentuk keunikan identiti mereka.  Selain daripada pendekatan etnografi, antropologi juga turut menggunakan pendekatan atau kaedah fenomenologi dalam menjalankan kajian. Pendekatan etnografi dan fenomenologi merupakan antara pendekatan yang sebenarnya lazim digunakan dalam sesuatu penyelidikan antropologi dan sosiologi. Hal ini kerana, kedua-dua pendekatan ini dilihat lebih sesuai dan tepat bagi memberikan gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara terutama sekali dalam aspek kajian tentang budaya sesebuah komuniti yang ingin dikaji. Selain itu, kaedah penyelidikan antropologi dan sosiologi uga dilihat mampu memberikan fakta yang tepat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, kaedah yang digunakan biasanya memerlukan pengkaji turun ke lapangan untuk mendapatkan gambaran yang sebenar.
Oleh itu, secara kesimpulannya, penyelidikan antropologi dan sosiologi sebenarnya mempunyai pelbagai pendekatan yang boleh digunakan bagi memberikan gambaran yang jelas atau menjawab segala persoalan terutamanya yang berkaitan dengan budaya sesebuah kumpulan etnik yang ingin dikaji.
1.2       PERSPEKTIF IDEASIONAL
Perspektif ideasional merupakan salah satu konsep yang biasanya digunapakai dalam bidang antropologi dan sosiologi terutamanya dalam kajian etnografi. Kaedah etnografi secara umumnya menggunakan 2 jenis pendekatan iaitu ontologi dan epistemologi. Dalam pendekatan ontologi pula, ia membahagikannya kepada 2 pendekatan yang berbeza iaitu idealisme dan realisme. Walaupun ontologi mempunyai 2 jenis pendekatan yang berbeza, kajian etnografi kebiasaannya lebih cenderung untuk mengunakan pendekatan idealisme atau dikenali juga sebagai ideasional berbanding dengan pendekatan realisme. 
Ideasional didefinisikan sebagai suatu bentuk makna yang menekankan kepada hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman-pengalaman realiti. Secara umumnya, konsep ideasional ini dilihat lebih menekankan kepada makna aspek-aspek yang berkaitan dengan pemikiran, tindakan dan kejadian atau sesuatu keadaan. Perspektif ideasional juga lebih sinomim dikenali sebagai aliran idealisme. Idealisme berasal daripada kata ‘ideal’ yang membawa maksud idea manakala ‘isme’ membawa maksud ajaran atau fahaman. Selain itu, idealisme juga dapat ditakrifkan sebagai suatu bentuk aliran falsafah yang memandang mental dan ideasional sebagai kunci utama yang akan membawa kepada suatu keadaan yang lebih bersifat realiti. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012), idealisme didefinisikan sebagai suatu sifat (sikap atau perbuatan) atau sesuatu bentuk cita-cita yang ideal dan unggul. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa idealisme merupakan satu bentuk idea yang berteraskan kepada kesedaran intelek dan sistem berfikir yang rasional dan logik yang digunakan untuk mengenalpasti sesuatu kebenaran. Bukan itu sahaja, malahan Plato menyatakan bahawa idealisme merupakan aliran falsafah yang memandang kenyataan (realiti) yang wujud dalam kehidupan bukanlah suatu kebenaran yang hakiki kerana menurut beliau, ia hanyalah suatu gambaran tentang idea-idea yang ada di dalam jiwa atau spirit manusia. 
Dari sudut antropologi, ia menyatakan bahawa perspektif ideasional ini sebenarnya menekankan bahawa hakikat tentang sesuatu perkara itu secara realitinya terletak dalam minda seseorang. Ianya biasanya dijelaskan dengan pernyataan bahawa secara realitinya, asas pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara diperolehi melalui pemerhatian atau pengalaman yang sememangnya telah wujud dalam diri seseorang individu. Sebagai contoh, bagaimana seseorang yang melihat sebuah buku yang berwarna biru seperti mana yang disampaikan oleh pancaindera kepada otak. Keadaan ini sememangnya diperakui oleh ahli fizik yang menyatakan bahawa warna adalah satu medium yang berfungsi untuk menggerakkan saraf optik yang akan membawa maklumat kepada otak. Namun begitu, secara realitinya, pengetahuan tentang perkara tersebut merupakan suatu bentuk maklumat yang sememangnya telah wujud dalam minda manusia sejak dari awal lagi. Selain daripada itu juga, perspektif ideasional atau idealisme ini juga dirujuk sebagai suatu proses konseptual yang terdiri daripada pecahan akal mutakhir dalam usaha yang digunakan oleh seseorang itu untuk mencari sesuatu kewujudan, pengetahuan dan nilai tentang sesuatu situasi atau keadaan (Johnson, 1969). Situasi ini jelas menyatakan bahawa perspektif ideasional ini sebenarnya lebih menekankan kepada konsep pemikiran sebagai asas dalam perbincangannya dimana aliran ini percaya bahawa semua proses yang dialami oleh fikiran atau pembentukan sesuatu pengetahuan adalah hasil daripada pemikiran yang mutlak. Dalam erti kata lain, aliran ini menetapkan bahawa asas kewujudan sesuatu perkara itu adalah dalam bentuk pemikiran dan bukannya dalam bentuk fizikal. Hal ini kerana, aliran ini berpegang kuat kepada konsep penaakulan sebagai asas pembinaan idea atau pengetahuan. 
Selain daripada itu, perspektif ideasional ini secara umumnya banyak digunakan oleh tokoh-tokoh seperti Plato, Rene Descartes, Barush Spinoza dan sebagainya. Hal ini kerana, Plato merupakan pengasas aliran ideasional atau idealisme (427-374 SM). Plato berpendapat bahawa pengetahuan sebenar seseorang diperolehi hasil daripada proses penaakulan semata-mata. Sebagai contoh, secara idealnya, apa yang ada dalam minda manusia berkaitan dengan sifat-sifat manusia adalah baik tetapi jika dilihat dari aspek realitinya yang sebenar, sifat manusia sebenarnya sukar untuk difahami. Andaian ini biasanya diperolehi melalui pengetahuan, pengalaman dan sebagainya tanpa diketahui kebenarannya tentang sesuatu perkara. Selain itu, Plato juga menyatakan bahawa asas kepada pengetahuan seseorang adalah bermula daripada pemikiran atau andaian yang wujud. Perspektif ini seringkali digunapakai oleh pengkaji antropologi khususnya dalam kajian yang berkaitan dengan budaya seseorang. Selain itu, W.F. Hocking juga mendefinisikan perspektif ideasional sebagai satu kesinambungan yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa dan bukannya sesuatu bentuk benda yang bersifat material. Situasi ini menunjukkan bahawa W.F. Hocking melihat konsep ‘mind’ sebagai suatu bentuk elemen yang paling penting dalam perspektif ideasional. Hal ini kerana, jika dilihat secara keseluruhanya, perbincangan ideasional banyak menyentuh tentang konsep ‘mind’.
Secara ringkasnya, ideasional ini sebenarnya dapat ditakrifkan sebagai suatu andaian atau tanggapan awal seseorang tentang sesuatu perkara tanpa ada bukti atau fakta yang sebenarmya. Dalam erti kata lain, idealisme atau perspektif ideasional dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk andaian atau hipotesis awal yang dibuat oleh seseorang sebelum pergi ke lapangan untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya. Hal ini kerana, perspektif ini mempunyai kaitan yang rapat dengan aspek pemikiran seseorang. Sebagai contoh, dalam kajian berkaitan dengan budaya masyarakat orang asli. Sebelum menjalankan kajian, seseorang pengkaji mengandaikan atau membuat tanggapan awal bahawa masyarakat orang asli ini tidak moden, pengotor, tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan sebagainya. Namun, apabila pengkaji melihat sendiri budaya dan cara hidup mereka, seseorang pengkaji itu mendapati bahawa apa yang difikirkan oleh mereka pada peringkat awal adalah salah. Hal ini kerana, apabila mereka melihat sendiri cara hidup masyarakat orang asli, mereka mendapati bahawa mereka telah mengalami pemodenan dan telah mula mengamalkan cara hidup seperti masyarakat lain. Sebagai contoh, mereka tidak lagi menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk membasuh pakaian sebaliknya, mereka telah mula menggunakan sabun untuk mencuci. Keadaan ini secara tidak langsung telah dapat menerangkan bahawa ideasional atau idealisme adalah merupakan satu bentuk pemikiran atau andaian yang telah wujud dalam minda manusia tanpa diketahui fakta yang sebenarnya. Andaian itu dibuat hanya berdasarkan pemerhatian yang dibuat semata-mata tanpa mendalami budaya mereka. Selain itu, kita melihat orang asli yang berkulit hitam sebagai seorang yang pengotor. Namun, hakikat sebenarnya apabila kita mendalami budaya mereka, kita mendapati bahawa hitam itu merupakan satu bentuk identiti mereka yang unik.
Oleh itu, secara keseluruhannya, perspektif ideasional atau idealisme ini sebenarnya merupakan satu set andaian atau tanggapan yang wujud dalam minda seseorang berdasarkan pemerhatian yang dibuat tanpa ada sebarang bukti yang benar. Selain itu, idealisme juga menekankan bahawa hakikat tentang sesuatu perkara itu secara realitinya terletak dalam minda seseorang. Hal ini kerana, perspektif ideasional mempunyai kaitan yang rapat dengan penaakulan.
1.3       PERSPEKTIF FENOMENOLOGI
Pendekatan atau perspektif fenomenologi atau lebih dikenali sebagai satu teori yang bernaung di bawah paradigma definisi sosial merupakan satu tradisi kualitatif yang berakar umbikan falsafah dan psikologi serta fokus kepada pengalaman hidup manusia. Pendekatan fenomenologi hampir sama dengan pendekatan hermeneutics yang menggunakan pengalaman hidup sebagai alat atau kaedah untuk memahami sosial, budaya, politik mahupun dalam konteks sejarah dimana ianya terjadi. Namun, berbeza dengan teori atau pendekatan sosial yang lain, fenomenologi mengatakan bahawa kenyataan sosial tidak bergantung kepada makna yang diberikan oleh individu, tetapi melihat kepada kesedaran atau pengalaman subjektif seseorang individu.  Ini kerana tingkah laku manusia sangat dipengaruhi oleh pandangan individu terhadap diri dan dunianya berdasarkan kesedaran atau keadaan sebenar dirinya. Ini bermakna, fenomenologi tidak melihat kepada makna yang diberikan tetapi berdasarkan kesedaran atau pengalaman dalam melihat tingkah laku seseorang.
            Pendekatan fenomenologi digunakan dalam bidang sosiologi melalui karya Alfred Shutz yang dipengaruhi oleh ahli falsafah Jerman iaitu, Edumund Husserl. Tetapi pendekatan fenomenologi alam bidang sosiologi mulai terkenal dengan menggunakan idea-idea fenomenologi P.Berger dan T. Luckman dalam karya mereka Essential Features of Face to face Interaction (1973). Dalam karya ini, mereka mengandaikan bahawa interaksi dari muka ke muka merupakan perkara asas dari fenomena atau pengalaman yang lebih kompleks dan luas. Mereka melihat sesuatu perkara itu daripada pendekatan individu terutamanya tentang kesedaran. Dalam hujahan mereka tentang fenomenologi, mereka telah membahagikan elemen-elemen daripada interaksi kepada tiga komponen utama iaitu ciri-ciri pelaku, ciri-ciri di antara pelaku, dan juga ciri-ciri perlakuan pelaku.
            Berkisar tentang sejarah awal kemunculan idea Fenomenologi pula seperti mana yang telah dinyatakan tadi bahawa ianya telah diterap ke dalam bidang sosiologi melalui pemikiran Alfred Schutz yang dipengaruhi oleh Edmund Husserl. Oleh itu, sejarah awal pendekatan fenomenologi adalah bermula daripada pemikiran Husserl (1859-1938) yang juga dikenali sebagai bapa fenomenologi. Menurut Husserl, manusia hanya akan mengenal atau memahami dunia sosial melalui pengalaman. Setiap sesuatu yang berlaku dalam dunia sosial ini diterima daripada pengalaman pancaindera dan dapat dikenalpasti atau difahami melalui kesedaran. Setiap perkara termasuklah kewujudan individu lain, norma-norma dan nilai dalam masyarakat, dan sebagainya sering dikenalpasti melalui pengalaman yang disedari oleh manusia. Namun, disebabkan oleh kesedaran manusia itu terbatas, sukar untuk mengenalpasti sesuatu perkara itu sebagai nyata atau realiti yang boleh diterima umum dan dijadikan satu fakta sosial.
            Dalam mengenalpasti pengalaman yang membawa kepada tingkah laku individu ini, Husserl menggunakan istilah dunia persekitaran (alamiah) bagi dunia yang dihuni manusia atau dunia yang diterima begitu sahaja dalam kehidupan manusia dari hari ke hari dan kemudiannya beliau menggunakan istilah dunia kehidupan pula dalam menerangkan ruang lingkup kesedaran tentang pengalaman manusia. Melaluinya, beliau menegaskan bahawa manusia hidup dan bertingkah laku di dalam dunia atau ruang yang diterima begitu sahaja dalam masyarakat atau sosial. Kehidupan manusia dalam setiap hari terdiri daripada pelbagai unsur iaitu objek, orang, tempat, ilmu atau pengetahuan dan sebagainya dilihat, difahami dan diterima oleh masyarakat sebagai suatu fakta dan kemudiannya menentukan parameter untuk setiap perkara yang mereka lakukan termasuklah tentang amalan dan adat istiadat.
            Dalam ideanya, Husserl menekankan kepada dua perkara yang menjadi asas kepada fenomenologi moden. Pertamanya, beliau menekankan bahawa manusia menerima kehidupan mereka begitu sahaja yang akan mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertingkah laku. Di mana, kehidupan harian yang sudah sebati itu menjadi fakta dalam kehidupan dunia manusia dan sangat mempengaruhi keseluruhan hidup manusia. Selain itu, Husserl juga mengatakan bahawa manusia hidup dengan andaian bahawa mereka melalui dunia yang sama. Tetapi disebabkan oleh setiap orang mempunyai kesedaran terhadap pengalaman hidup yang berbeza-beza, maka tidak dapat dipastikan sama ada andaian tersebut benar ataupun tidak. Namun, Husserl tetap percaya bahawa manusia cuba beranggapan bahawa mereka melalui perkara yang sama atau kehidupan di dalam dunia sosial yang sama meskipun mereka tidak dapat memastikannya.
            Pendekatan fenomenologi Husserl lebi kepada bersifat radikal yang memberi ilham kepada Alfred Schutz dalam ideanya iaitu fenomenologi moden. Ini kerana Schutz menggunakan pendekatan fenomenologi Husserl dengan teori tingkah laku (action theory) Max Weber dan juga teori interaksionalisme simbolik yang akhirnya membentuk fenomenologi moden seperti yang difikirkan oleh beliau. Pertamanya, analisis Schutz berkenaan dengan idea Max Weber terutamanya tentang ‘tindakan sosial’. Di mana, Schutz melihat kepada konsep tindakan Weber dalam karyanya “The Phenomenology of Social World”. Beliau mengkritik idea Weber berkaitan kegagalan Weber dalam menggunakan metod dan mengkaji mengapa dan bagaimana para pelaku sosial dapat memberi makna subjektif yang sama terhadap sesuatu perkara. Setiap persamaan dalam perilaku manusia seperti tentang idea atau pengetahuan, pandangan, pengalaman dan sebagainya dipersoalkan. Bagi Schutz, keadaan ini merupakan satu masalah subjektif dan menjadi suatu hal yang penting dalam idea intelektualnya.
            Seterusnya, meskipun terpengaruh dengan idea Husserl tentang fenomenologi, Schutz tidak lagi menggunakan konsep-konsep radikal yang digunakan oleh Husserl. Misalnya tentang hukum-hukum berkaitan dengan kesedaran manusia. Tetapi beliau menerima dan menggunakan konsep Husserl tentang dunia kehidupan iaitu dunia sehari-hari manusia dan sikap alamiah ataupun semulajadi manusia yang diterima, diterap begitu sahaja sehingga mempengaruhi mereka dalam bertindak dan bertingkah laku. Schutz juga mengakui bahawa dalam dunia kehidupan, manusia mempunyai dan melalui kehidupan sosial yang sama dan bertingkah laku seperti mereka telah hidup dalam dunia kehidupan yang sama. Selain daripada menerima idea fenomenologi Husserl, Schutz juga menerima metod yang digunakan oleh Weber dalam memahami dan mendalami interaksi yang wujud dalam masyarakat dan bukannya dalam bentuk radikal atau dunia kehidupan yang sama.
            Pendekatan fenomenologi Schutz kemudiannya dipengaruhi oleh interaksionalisme simbolik apabila beliau berpindah ke Amerika Syarikat. Pengaruh pendekatan interaksionalisme simbolik daripada G.H. Mead dan W.I. Thomas sangat berpengaruh terhadap idea pemikiran Schutz. Schutz menggabungkan konsep Thomas tentang definisi situasi dan konsepnya tentang intersubjektif. Schutz juga berpegang kepada pendapat Thomas tentang definisi di mana situasi atau sesuatu keadaan itu dipelajari daripada pengalaman masa lampau dan dijadikan sebagai rujukan untuk membuat suatu tindakan pada hari ini. Manakala, pengaruh dari Mead terhadap Schutz pula adalah tentang konsep pengambilan peranan. Di mana, di dalamnya seorang pelaku mengambil sikap orang lain melalui gerak-geri tubuh. Dalam hal ini, Mead sangat tertarik dengan proses di mana pelaku-pelaku itu boleh mengetahui peranan satu sama lain dan menjadi penanda aras bagi pelaku yang lain untuk bertingkah laku dalam cara atau keadaan yang sama.
            Berdasarkan pengaruh-pengaruh daripada idea tokoh-tokoh lain, Schutz telah keluar dengan satu idea atau pendekatan yang berbeza daripada interaksionalisme simbolik. Menurut Schutz, manusia melalui kehidupan dengan membawa bersama peraturan-peraturan tentang tingkah laku yang tepat, konsep-konsep, nilai-nilai, dan sebagainya untuk dijadikan petunjuk bagi membantu mereka bertingkah laku dengan baik dan bersesuaian dalam dunia sosial. Schutz melihat keseluruhan cara hidup seperti norma dan nilai sebagai stok pengetahuan yang telah tersedia dan menjadi rujukan kepada seorang individu dalam bertindak balas terhadap sesuatu yang terjadi di sekitarnya.
            Konsep stok pengetahuan telah dipinjam daripada idea Husserl tetapi disesuaikan dengan konsep Mead tentang “generalized other”. Schutz juga menerima idea tentang dunia sosial adalah sama dan diterima begitu sahaja oleh manusia di dalam pendekatan fenomenologinya yang mana disebut sebagai kebiasaan atau rutin dalam interaksionalisme simbolik. Namun masih terdapat perbezaan idea Schutz dari Husserl dan interaksionalism simbolik seperti mana yang telah dinyatakan di atas. Di mana, manusia bertingkah laku dengan andaian bahawa mereka melalui satu dunia sosial yang sama dan mempunyai perasaan tentang dunia sosial yang sama merupakan satu perkara yang penting dalam mempertahankan keteraturan sosial dalam dunia sosial yang sama itu. Idea Schutz dalam fenomenologi ini juga telah berjaya mengeluarkan fenomenologi daripada pengaruh falsafah dan menggunakannya dalam pendekatan sosiologi. Beliau telah menggunakan konsep Husserl tentang dunia kehidupan dengan proses interaksi yang menjadi asas dalam kehidupan.  Schutz melihat manusia atau masyarakat hidup di dalam dunia sosial yang sama dengan cara mereka saling berinteraksi dan berurusan dengan satu sama lain.
            Secara keseluruhannya, pendekatan fenomenologi ini menekankan kepada pengalaman subjektif seseorang individu kerana sesebuah tingkah laku itu sangat dipengaruhi oleh pandangan individu terhadap dirinya dan juga dunia sosialnya. Setiap perkara dalam kehidupan sangat berkait dengan unsur kesedaran atau keadaan sebenar seseorang individu melihat tingkah laku seseorang berdasarkan fenomena tentang dirinya sendiri. Misalnya, dalam masyarakat Iban di Sabah dan Sarawak. Mereka bertingkah laku atau mengamalkan adat-adat dan peraturan dalam kehidupan mereka seperti dalam upacara ‘Miring’ berdasarkan pengalaman atau fenomena yang pernah dilalui oleh orang sebelum mereka. Mereka melihat, menghayati dan menjadikannya sebagai petunjuk dalam mengamalkan upacara ‘Miring’ yang diadakan pada hari Gawai setiap tahun.
1.4       RITUAL DAN SIMBOL DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI DAN IBAN      DI SABAH DAN SARAWAK
Budaya dan agama saling berkaitan. Setiap budaya mempunyai agama yang dominan. Agama mempengaruhi amalan ritual, penceritaan, taboo dan istiadat dalam sesebuah budaya. Walaupun mempunyai agama yang berbeza namun terdapat persamaan yang wujud dalam setiap agama sebagai contoh kitab suci. Selain itu, setiap agama mempunyai pengasas agama dan agama juga mempunyai amalan tradisional ritual atau sebarang perlakuan yang menandakan simbol atau mesej agama dalam amalan. Peranan agama secara tidak langsung dapat menonjolkan kebudayaan sesebuah masyarakat termasuklah masyarakat Orang Asli dan masyarakat Iban.
Menurut Ma’Rof, 2010 (dlm. Rohayu (2013)), masyarakat Orang Asli merupakan kaum minoriti penduduk Malaysia dan merupakan satu-satunya komuniti peribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Mengikut bancian pada tahun 2010, bilangan Orang Asli ialah seramai 178 179 orang. Dari segi penempatan masyarakat Orang Asli sebanyak 38% masyarakat Orang Asli tinggal di pedalaman, 61% tinggal di pinggir Bandar dan 1% tinggal di kawasan Bandar. Mereka terdiri daripada tiga suku bangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto. Setiap suku bangsa ini dipecahkan kepada enam suku kaum yang mana mereka bertutur dalam pelbagai bahasa selain daripada dialek Melayu tempatan (JAKOA, 2011).
Masyarakat orang asli sememangnya kaya dengan adat resam dan budaya kerana kehidupan mereka masih berkait rapat dengan alam semula jadi walaupun ada yang sudah memasuki dunia moden. Adat dan kepercayaan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan makhluk ghaib. Kehidupan mereka penuh dengan mistik dan kepercayaan kepada alam sekeliling. Seni ukiran kayu di antara aktiviti seni yang masih terpelihara sehingga kini. Seni ukiran kayu merupakan satu aktiviti untuk mengisi masa lapang dan turut digunakan semasa upacara ritual. Menurut Norasmah & Husnorhafiza (2011), daripada 18 suku masyarakat Orang Asli yang terdapat di negara ini, hanya suku kaum Mah Meri dan Jah Hut yang mendominasi seni ukiran kayu khususnya ukiran patung dan topeng.
            Ketika menyambut hari-hari kebesaran bagi sesebuah masyarakat mereka, amalan mengubat penyakit tetap dijalankan mengikut tradisi yang melibatkan jampi serapah diiringi dengan tarian-tarian tertentu. Jika diteliti kebanyakan bentuk tarian dan nyanyian mereka bukan sekadar hiburan semata-mata, malah peranannya lebih mendalam daripada apa yang dijangka. Tarian dan nyanyian merupakan perantaraan untuk mengubati penyakit, menghalau unsur-unsur jahat dan menjaga keselamatan kampung daripada gangguan makhluk-makhluk lain.
            Tarian Lilin merupakan satu tarian yang popular di kalangan suku Temuan, Jah Hut dan Che Wong yang terdapat di daerah Raub mempunyai makna tersendiri ketika dimainkan pada hari keramaian majlis perkahwinan dan selepas menuai padi. Mereka menganggap kekuatan lilin yang terdapat pada piring mampu menjadi asas yang kukuh walaupun tapaknya tidak besar di samping berupaya menerangi orang lain. Begitu juga dengan tarian Sewang yang popular di kalangan masyarakat Orang Asli Semai yang dijalankan sebagai penyembahan kepada makhluk ghaib, mengubati penyakit dan sebagainya.
Secara umumnya, sewang boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut keperluan sesuatu upacara. Setiap satu ada perbezaan dari segi fungsi sama ada diadakan untuk tujuan perubatan, membuka pantang kematian, keramaian seperti menyambut tetamu dan meraikan perkahwinan, membuka lading, mengawal makhluk-makhluk halus dan sebagainya. Dalam upacara sewang, pelbagai peralatan yang digunakan mengikut jenis upacara yang akan diadakan dan setiap peralatan tersebut mempunyai simbol-simbol tertentu.
Selain itu, masyarakat Orang Asli terkenal dengan aktiviti memburu hasil hutan. Hampir kesemua suku kaum Orang Asli di Malaysia memburu binatang menggunakan sumpit. Sumpitan menjadi lambang suku kaum Bateq di samping untuk mendapatkan sumber makanan iaitu dengan menyumpit binatang. Setiap lelaki dewasa wajib mempunyai kepakaran menggunakannya sebelum berumah tangga. Kehebatan seseorang pemuda Bateq terserlah apabila berjaya ‘menembak’ sasarannya dengan tepat. 
Kaum Iban dikategorikan ke dalam kumpulan Melayu-Proto iaitu sama dengan orang Melayu Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Suatui ketika dahulu, kaum Iban lebih dikenali dengan panggilan ‘Sea Dayak’ atau Dayak Laut bagi warga asing. Panggilan tersebut disebabkan mereka biasanya bergerak di kawasan laut sebagai lanun dan juga menjadi pelayar yang handal (Roth, 1968).
Masyarakat Iban berasal dari Sarawak dan merupakan suku kaum terbesar di Sarawak. Dari segi sejarahnya, orang Iban ialah satu kaum yang suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa. Masyarakat Iban juga amat terkenal dengan keberanian pahlawan-pahlawannya memenggal kepala musuh-musuhnya semasa berperang pada zaman dahulu. Orang Iban yang tinggal bersama dalam sebuah rumah panjang memerlukan adat dalam mengawal hubungan antara penghuni agar keamanan dan ketenteraman sentiasa wujud.
Agama tradisi masyarakat Iban ialah kepercayaan mereka yang berkaitan dengan kepercayaan animisme. Animisme masyarakat Iban bermaksud kepercayaan mereka kepada banyak Tuhan. Contohnya mereka ada Tuhan khas untuk kegiatan penanaman padi iaitu ‘Pulang Gana’, Tuhan ekspedisi perang “Sengalang Burung’ serta Tuhan pencipta manusia yang dikenali sebagai ‘Selampandai’. Tuhan-tuhan itu mesti diberi makan dengan ‘piring’ untuk mendapatkan sesuatu hajat. Mereka melihat roh, kuasa luar biasa itu sebagai sesuatu yang suci, kudus, sakral dan oleh itu berlaku proses pemujaan. Mereka memuja dengan melahirkan pelbagai upacara atau ritual kepercayaan.
Masyarakat Iban melihat sakral sebagai sesuatu yang berkomunikasi dengan mereka maka berlaku komunikasi antara kuasa ghaib dengan masyarakat tersebut. Ia boleh berlaku komunikasi dalam bentuk mantera. Ia menurunkan wahyu, boleh jadi dalam bentuk suruhan atau dalam bentuk ugutan. Segala kesucian melahirkan kebaikan yang ditunjukkan dalam kehidupan manusia. Ia dilahirkan melalui upacara ritual. Di dalam ritual ini ada perlakuan-perlakuan dan perlakuan-perlakuan tersebut adalah tertakluk kepada idea yang ditetapkan contohnya dalam upacara ritual ‘miring’ yang bermaksud memberi makan kepada Tuhan.
Dalam upacara-upacara ritual masyarakat Iban, hanya ‘manang’ atau lebih dikenali sebagai bomoh sahaja yang dapat melihat dan menangkap semangat. Kaum Iban yang biasa tidak berkemampuan untuk berbuat demikian. Manang dikenali sebagai dukun Iban yang pakar mengubati penyakit sama ada disebabkan oleh hantu jembalang atau terkena buatan orang. Mereka akan berubat dengan ‘manang’ kerana ‘manang’ ada memiliki sejenis batu yang dikenali sebagai ‘Batu Ilau’ atau batu ajaib yang boleh digunakan untuk menilik penyakit si pesakit dan boleh menyembuhkan penyakit tersebut.
Suku kaum Iban terkenal dengan daun telinga yang panjang kerana beban berat dari giwang yang dipakai. Ia menjadi lambang kecantikan seseorang. Disamping itu, telinga yang panjang turut menjadi simbol kepada kedudukan status sosial seseorang. Biasanya mereka yang mempunyai daun telinga yang panjang terdiri daripada golongan bangsawan.
            Selain terkenal dengan telinga panjang, kaum Iban turut terkenal dengan tatu di tubuh mereka. Tatu lebih dikenali sebagai ‘pantang’. Tatu adalah simbol kelelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki. Sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari, lengan dan paha. Sementara wanita Iban pula mempunyai tatu di bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain berfungsi sebagai penghias diri. Masyarakat Iban menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman pengembaraan dan pencapaian seseorang. Corak-corak yang menjadi pilihan dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit. Tatu ‘Bunga Terung’ biasanya terdapat pada kedua-dua bahu lelaki masyarakat Iban. Suatu ketika dahulu, lelaki Iban akan mencacah tatu berbintik kecil di tangan dipanggil ‘tengulun’ yang menandakan mereka pernah memenggal kepala musuh. Bilangan tatu itu bergantung kepada berapa banyak mangsa yang berjaya dibunuh.
1.5       KESIMPULAN
Kesimpulannya, dalam kajian etnografi, pendekatan ideasionalisme dan fenomenologi adalah penting dalam memahami dan mendekati satu-satu subjek kajian. Hal ini demikian kerana, dalam kajian etnografi, subjek kajian terdiri daripada sesebuah masyarakat dan bukannya terhad kepada individu sahaja. Pengkaji perlu memasuki sesebuah masyarakat seperti etnik ataupun kaum bagi mendapatkan data yang dikehendaki. Etnografi sebagai sebuah kajian yang dijalankan bagi mendalami budaya sesebuah masyarakat memerlukan pengkaji menggunakan pendekatan ideasioanal dan fenomenologi atau inilah yang dinamakan sebagai pemerhatian ikut serta, di mana pengkaji harus tinggal dalam satu tempoh yang lama bersama dengan subjek kajian. Misalnya dengan mengusai pendekatan fenomenologi, pengkaji menggunakan pengalaman sendiri semasa tinggal bersama dengan subjek kajian dalam mempersembahkan data. Contohnya, berkaitan dengan adat perkahwinan dan kematian dalam masyarakat Orang Asli yang pastinya berbeza-beza mengikut suku.

            Selain itu, dalam menjalankan kajian berbentuk etnografi, dua konsep yang sangat penting adalah ritual dan simbol. Ini kerana, ritual dan simbol merupakan satu perkara yang berbeza-beza dalam masyarakat dan merupakan identiti sesebuah masyarakat. Misalnya, pemakaian tatoo dalam masyarakat Iban sebagai satu simbol atau tanda kekuatan. Oleh itu, seorang pengkaji perlulah memahami setiap ritual dan simbol yang berbeza dalam masyarakat dan perlu menerimanya dengan meninggalkan segala unsur bias, etnosentrisme dan sebagainya. Seorang pengkaji itu perlu bersikap bebas nilai atau free value dalam menjalankan sesebuah kajian kerana ianya melibatkan masyarakat dan budaya yang berbeza-beza.

BELIA DAN MODAL INSAN BAGI PEMBANGUNAN SEKTOR DESA

Assalamualaikum... ok nie exciment aq pasal kreek2 lupa la aq buat tajuk apa.. x save... sebab aq x simpan muka depan kulit excimnt nie.. excimnt nie di bawah subjek SOSIOLOGI DESA. ada gak kaitan pasal bajet 2015. kalau ada yang salah harap maaf.. biasalah buat kerja last minit.. satu hari suntuk aq lepak at fak.. FSSK... subuh baru balik.. :'(.. hobi kowt buat kerja last minit.. setiap sem aq berazam ntok siapkan excimnt awal waktu.. tp hampeh... idea yang mencurah2 dtng di saat akhir.. :)

1.1 PENGENALAN

Pembangunan sektor desa sebagai agenda pembangunan negara telah melalui banyak perubahan semenjak era Laporan Merah Tun Razak. Pada masa dahulu tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur dengan pendekatan ekonomi. Penyatuan dan pembukaan tanah telah menjadi isu utama dalam pembangunan. FELDA dan FELCRA telah banyak memainkan peranan mereka dalam menggerakkan pembangunan ini. Sehingga kini pun, pembangunan dalam bentuk ini masih diberi perhatian. Lebih-lebih lagi, aspek kemanusiaan telah mula mendapat tempat dalam strategi pembangunan ini (Endang Erwani & Rabiatul, 1996).

Menurut Muhammad Muhd. Taib (1996), membangunkan desa dan masyarakatnya, sebenarnya bermaksud menguruskan desa berkenaan dengan cemerlang dan bermutu tinggi supaya ia boleh merentasi cabaran pelbagai zaman. Terdapat beberapa pembangunan yang ingin di jalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pembangunan bandar dan luar bandar mempunyai jurang yang sangat jauh. Oleh itu, dalam melaksanakan pengluasan pembangunan ini, kita juga ingin memastikan bahawa, apabila pembangunan ini telah sampai ke luar bandar, pihak yang menyambut pembangunan ini dengan relevan, wujud. Justeru, perlu adanya para pemikir, para profesional, tenaga kerja dan golongan kesinambungan untuk menerima kemasukan pembangunan. Kita tidak mahu apabila pembangunan ini sampai ke kawasan desa, anak-anak muda desa masih tenggelam dalam keghairahan budaya berhijrah ke bandar, yang akhirnya menyebabkan kawasan luar bandar menjadi lenggang dan kosong. 

Oleh yang demikian, kerajaan sangat komited untuk meningkatkan pembangunan modal insan dalam diri belia desa supaya mereka dapat sama-sama membantu kerajaan dalam membangunkan sektor desa (Taib, 1996). Sebagai contoh, dalam bidang pertanian. Menurut Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2010), Universiti berfungsi melahirkan modal insan yang mempunyai ciri kebolehpasaran dan menjadi pusat bagi menghasilkan modal intelektual, inovasi dan penemuan ilmu serta berperanan sebagai penyumbang kepada pembangunan kekayaan negara dan kesejahteraan masyarakat. Dalam menjalankan fungsinya, beberapa faktor dan senario di peringkat global dan domestik mempengaruhi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mencapai matlamatnya melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional. Terdapat tujuh buah IPTA yang sedang menawarkan 28 program pengajian pertanian prasiswazah iaitu 7 di peringkat diploma dan 21 lagi ditawarkan di peringkat sarjana muda. Kebolehpasaran graduan program pengajian pertanian perlu ditingkatkan melalui inisiatif seperti latihan industri, mobiliti pelajar, penerapan unsur kemahiran insaniah dalam kursus yang diajar dan penglibatan pelajar dalam program anjuran industri berkaitan pertanian. Kesemua ini boleh termasuk dalam aspek pembangunan modal insan, yang mana salah satu strategi pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat boleh dicapai melalui membangunkan potensi penduduk luar bandar (desa) melalui pendidikan (Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar, 2010).

Menurut Mohd Fauzi dan Mohd Khairul (2012), modal insan ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh pekerja yang menyebabkan mereka lebih produktif. Modal ini tidak boleh dipindahkan daripada seorang kepada seorang yang lain tetapi seseorang perlu melabur untuk mendapatkannya. Ia dibentuk atau dipupuk melalui pelaburan terhadap pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup seseorang. Nilai kini terhadap pelaburan tersebut dapat menentukan taraf modal insan yang ada pada seseorang. Terdapat lima aspek yang mencirikan modal insan iaitu, modal insan tidak boleh diperdagangkan. Ia berupa pengetahuan dan kemahiran yang menjadi hak milik individu yang diperoleh di atas keupayaan diri. Setiap individu juga tidak mempunyai cara yang sama dalam membangunkan modal insan. Terdapat individu yang berupaya mempunyai keupayaan diri seawal usia mudanya tetapi terdapat juga individu yang membina keupayaannya di usia lanjut. Selain itu juga, modal insan juga dapat dilihat dari aspek kualiti dan kuantiti yang berbeza berdasarkan keupayaan dirinya. Tambahan pula, modal insan juga boleh bersifat lebih khusus atau umum iaitu boleh digunakan secara khusus untuk seorang individu sahaja atau boleh diguna secara bersama. Ciri yang terakhir yang melambangkan modal insan adalah ia dipengaruhi oleh aspek luaran iaitu persekitaran dan ikatan sosial. Ia memainkan peranan penting dalam menentukan tahap modal insan yang dimiliki oleh seseorang individu.

Bajet 2015 menunjukkan bahawa kerajaan terus berusaha membangun dan memajukan sektor desa dan pertanian bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk. Pelbagai rancangan, dasar, program telah dilaksanakan seperti Buku Hijau, rancangan Transformasi Pembangunan Sektor Desa, Dasar Pertanian Negara (DPN) I-III, dan lain-lain bagi tujuan tersebut selain menjadikan sektor itu lebih menarik, terutama untuk pelaburan dan keuntungan. Namun, sungguhpun pelbagai kemajuan dan kejayaan telah diperoleh, masih lagi terdapat isu, cabaran dan masalah yang perlu ditangani, terutama dalam era globalisasi ini. Antara isu, cabaran dan masalah yang perlu ditangani terutama dalam era globalisasi ini ialah dari aspek modal insan dalam sektor desa itu sendiri.

Menurut YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi (2006), modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan. Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang semakin meningkat. Menurut laman web rasmi Jabatan Penerangan Malaysia, pembangunan modal insan memerlukan individu meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama di samping penekanan akan diberi ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan memiliki kekuatan moral. (Y.A.B. Perdana Menteri). Modal insan merupakan pengimbangan pembangunan fizikal yang berteraskan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangkumi nila, etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.

Pembangunan modal insan merupakan salah satu aspek penting bagi membangunkan ekonomi negara yang berasaskan pengetahuan, berdaya saing dan berdaya tahan. Kepentingan pembangunan modal insan untuk pembangunan ekonomi negara jelas dapat dilihat, di mana teras kedua yang digariskan dalam Misi Nasional yang menjadi asas kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan ke arah merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, adalah berkait secara langsung dengan pembangunan modal insan. Bagi sektor pengajian tinggi, pembangunan modal insan, terutamanya golongan akademik dan pelajar, adalah sangat penting kerana golongan ini menjadi antara penyumbang utama ke arah matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju (Zulkefli, 2007).

 Memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan di luar bandar iaitu di desa merupakan teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Modal insan merupakan satu elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Insanlah merupakan faktor utama di dalam semua strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan aktiviti dan program pembangunan negara. Signifikan modal insan dalam RMK9 dikenal pasti mencakupi pelbagai aspek. Antaranya terdiri daripada keperluan kepada modal insan berkualiti, pendekatan holistik dalam pembangunan modal insan, strategi melahirkan modal insan kelas pertama, perkaitan Misi Nasional, Wawasan 2020 dengan modal insan, keselarian pembangunan modal insan dengan pendekatan Islam Hadhari, modal insan dan aktiviti kebudayaan, modal insan dan peranan golongan wanita, modal insan dan perundangan, modal insan dan pendidikan dan akhir sekali ialah modal insan dan integriti.

Menurut Zalika, Faridah, dan Johdi (2009), pembangunan insan juga di bentuk bagi memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat. 

1.2 ISU, CABARAN DAN MASALAH DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN DALAM MASYARAKAT DESA.

Isu pembangunan modal insan di Malaysia telah dipaparkan dengan jelas oleh Ishak Yussof dan Zulkifli Osman (2008) dalam bab 3 iaitu di bawah tajuk ‘Pembangunan Modal Insan di Malaysia: Perspektif Ekonomi’. Dalam konteks negara ini, strategi melahirkan tenaga kerja berkualiti yang memiliki dan menguasai pengetahuan, kemahiran sikap yang selari dengan tuntutan pasaran buruh semasa dan akan datang menjadi semakin penting. Pelaburan dalam pendidikan misalnya, bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan pertambahan permintaan daripada golongan belia, malah yang lebih penting melahirkan tenaga kerja yang berupaya menjana ekonomi berteraskan pengetahuan pada masa hadapan. 

Menurut Yahaya dan Hair Awang (2008), modal insan merupakan aset yang dominan bagi sesebuah negara yang sedang membangun. Oleh itu, pembangunan modal insan memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan pencapaian ekonomi negara. Keutuhan sesebuah organisasi sangat bergantung pada produktiviti yang dihasilkan oleh modal insan yang efisien. Namun begitu, modal insan hanyalah menjadi aset berharga bagi sesebuah organisasi dan negara sekiranya tahap kecekapan, kemahiran, sikap serta pengetahuan modal insan dibangunkan selaras dengan keperluan organisasi dan negara. 

Kualiti kerja di Malaysia semakin merosot. Kemasukan tenaga kerja baru ke dalam pasaran buruh tidak menepati kemahiran yang diperlukan oleh industri. Kebanyakan pelabur mengeluh kerana pekerja baru berkurangan kapasiti menganalisis dan menyelesaikan masalah. Kelemahan penguasaan bahasa dan rangkaian sosial menghalang penggunaan teknologi terkini dan proses berpasukan moden untuk aktiviti-aktiviti tambah-nilai tinggi. Tanpa jumlah tenaga kerja berkemahiran yang besar, kita menghadapi risiko menjunam ke arah sebuah negara yang sederhana. 

Selain itu juga, salah satu hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam RMK9 adalah untuk membangunkan modal insan yang memiliki penampilan unggul untuk mendukung cita-cita negara serta menyediakan kepimpinan yang utuh (towering personality). Seseorang dengan penampilan unggul mempunyai ciri-ciri berhemah mulia, berpendidikan serta berjaya dalam bidang yang diceburi. Di samping itu, seseorang yang memiliki penampilan unggul akan memiliki sifat-sifat seperti amanah, berbudi pekerti, rajin, berdisiplin, ikhlas dan tekun dalam semua usahanya. Cabaran KPM adalah untuk menyemai nilai-nilai yang akan menghasilkan perwatakan pelajar yang unggul. Menyedari bahawa perancangan untuk melahirkan generasi dengan sifat keunggulan adalah tanggungjawab yang berat. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan dengan penggemblengan tenaga dan komitmen jitu daripada semua pihak. 

Selain itu juga, isu ketidaksesuaian di antara penawaran graduan oleh IPT dan permintaan oleh industri ini juga berkait rapat dengan falsafah pendidikan yang berkaitan dengan pengajian tinggi yang telah lama dibahaskan. Falsafah pendidikan menekankan matlamat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan, berinovatif, kritikal dari segi pemikirannya dan menghayati nilai-nilai murni sebagai asas penghidupan. Ini berbeza dengan matlamat latihan yang menekankan kepada keperluan untuk meningkatkan kemahiran individu dalam konteks kerjayanya, dan merupakan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh majikan dan bukannya IPT. Namun demikian, ‘the educational objectives of higher learning institutions and the training objectives of employers are not necessarily mutually exclusive as up to a point both are mutually complementary and supportive of each other’. IPT tidak boleh diharapkan untuk menjadi institusi latihan semata-mata untuk menghasilkan graduan yang diperlukan oleh industri. Keperluan industri terhadap graduan mungkin berbeza mengikut masa. Oleh itu, amat menyulitkan untuk IPT berubah mengikut kehendak industri. Dialog dengan industri juga menunjukkan bahawa mereka sendiri tidak dapat meramalkan keperluan industri terhadap graduan dalam jangka yang lebih panjang yang melebihi tempoh dua (2) atau tiga (3) tahun (Zulkefli, 2007).

Dalam RMK9, terdapat tiga aspek penting dalam pembangunan modal insan yang unik yang telah ditekankan berbanding dengan rancangan sebelumnya. Antaranya ialah skop modal insan yang holistik iaitu bersifat meluas, penekanan kepada aspek pembangunan intelektual dan institusi ilmu dan yang akhir sekali ialah, pengukuhan keupayaan sains, R&D dan inovasi. Kajian Pelan Induk yang telah dijalankan pada awal tahun 2010 telah merumuskan beberapa isu dan cabaran dalam melahirkan modal insan dalam masyarakat desa. Antaranya ialah perubahan minda, nilai masyarakat desa, kepimpinan desa, peluang pekerjaan yang kurang menarik, peluang aktiviti keusahawanan yang terhad, masalah tanah, nilai tambah yang rendah, kebergantungan kepada buruh asing, produktiviti yang rendah, saiz penempatan luar bandar yang bertaburan kecil, kurang kemahiran dan tahap pendidikan yang rendah, dan akhir sekali ialah pertindihan agensi dan fungsi iaitu berlakunya ketidakcekapan dan pembaziran sumber. 

1.2.1 Perubahan Minda

Dari aspek perubahan minda, masyarakat desa dilihat masih terikat dengan cara berfikir dan bertindak mengikut amalan lama iaitu bersifat tradisional. Mereka dikatakan masih mengharapkan subsidi atau bantuan kerajaan dan menganggap melaksanakan pembangunan merupakan sepenuhnya tanggungjawab kerajaan. Antara bantuan kerajaan yang diharapkan oleh kebanyakan penduduk desa ialah pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), subsidi minyak bagi pekerja nelayan dan sebagainya. 

1.2.2 Nilai Masyarakat Desa

Kita dapat lihat bahawa nilai masyarakat di kawasan luar bandar sentiasa berubah mengikut perkembangan dan peredaran massa. Mereka kini semakin dipengaruhi oleh nilai kebendaan dan bersikap individualistik. Nilai-nilai murni seperti amalan gotong-royong, saling bantu-membantu dan bermuafakat sudah mula terhakis. Perubahan nilai juga dapat dilihat dari aspek kesepaduan sosial. Mereka tidak lagi mendukung kesepaduan erat seperti mana yang diamalkan oleh masyarakat tradisional.

1.2.3 Pendidikan dan Kepimpinan Desa 

Menurut mukadimah Akta Pendidikan (1996), tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat (Sufean & Norliza (2009). Menurut Zalika, Faridah dan Mohammad Johdi (2009), memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan luar bandar (desa) merupakan teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko keciciran pelajar. Membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, dan merapatkan jurang pendidikan merupakan kunci dalam mencapai matlamat memperkasakan pendidikan khususnya pendidikan luar bandar (desa).

Menurut Mohd. Zain (1996), terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian sekiranya taraf pendidikan di desa hendak dipertingkatkan. Sekiranya dibandingkan dengan sekolah di bandar, maka kita akan dapati sekolah di desa masih banyak menghadapi pelbagai kekurangan dari sudut kualiti prasarana, kemudahan dan tenaga pengajar (guru). Keadaan yang serba kekurangan ini dan dasar pendidikan yang diamalkan penjajah itu tidak mampu melahirkan pelajar yang berpendidikan cemerlang di kalangan penduduk desa. Berdasarkan kajian Pelan Induk, sikap negatif dan enggan berusaha, sikap sentiasa berharap kepada subsidi dan bantuan, masalah kemiskinan sangat jelas di kalangan masyarakat Orang Asli dan kelompok miskin tegar yang lain. Kadar keciciran pelajar di kalangan orang Asli adalah tinggi, misalnya pada tahun 2008 sebanyak 36.1% daripada pelajar orang asli yang tamat Darjah 6 tetapi tidak meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan 1. ini dilihat jauh berbeza dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar. 

 Kepimpinan desa juga turut menjadi isu kerana anak-anak muda yang mempunyai pendidikan tinggi tidak lagi tinggal dan bekerja di kampung. Kita dapat lihat bahawa berlakunya penghijrahan golongan belia ke bandar. Akibatnya pemimpin pelapis yang berpotensi dan berkaliber telah tiada atau semakin berkurangan di kawasan luar bandar bagi menerajui aktiviti ekonomi di kalangan penduduk desa. Hal ini kerana, penduduk luar bandar didapati masih mengharapkan bantuan kerajaan. hasil kajian Pelan Induk telah menunjukkan 30.3 responden yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar masih sangat berharap kepada kerajaan. Selain itu, sikap enggan berusaha, keengganan untuk berubah, sikap kebergantungan kepada orang lain dan cepat berpuas hati dengan apa yang ada masih wujud. 

Oleh itu, bagi melahirkan belia yang mempunyai modal insan dalam aspek pendidikan dan aspek pekerjaan, kerajaan telah berusaha memberikan peruntukan terhadap pembangunan modal insan dalam diri masyarakat desa terutamanya belia yang bakal menjadi peneraju negara kelak. 

1.2.4 Migrasi Belia Desa ke Bandar

Penghijrahan belia ke kota, terutama ke bandar besar seperti  Kuala Lumpur telah bermula sejak zaman awal kemerdekaan lagi. Suasana yang tidak menghiburkan, tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang kukuh dan stabil serta dikongkong oleh sistem adat dan peraturan keluarga yang ‘menyakitkan’ di desa menyebabkan golongan remaja menganggap kota sebagai kota sebagai salah satu destinasi yang harus dituju. Namun begitu, sebahagian besar yang berhijrah ke kota hanya berjaya mengisi pekerjaan yang rendah tarafnya, rendah pendapatannya dan kadangkala tidak mampu untuk menampung kos hidup yang tinggi di bandar. Tegasnya, kerjaya kolar biru yang dapat dicapai oleh golongan belia ini tidak memungkinkan mereka mencapai status quo bandar yang diidamkan. 
Menurut Abibullah (1996), tidak ada data yang menujukkan perangkaan belia yang tinggal di bandar dan yang tinggal di luar bandar (desa). Walau bagaimanapun, kita boleh mengandaikan bahawa belia bandar dan luar bandar mempunyai kadar yang hampir sama seperti perangkaan penduduk bandar dan luar bandar. Oleh itu umumnya belia luar bandar pada masa kini adalah ramai berbanding dengan belia bandar. Perhatian yang serius kepada kelompok ini perlu dilakukan bagi melihat keupayaan mereka menjulang negara ke arah kecemerlangan. 

Antara punca belia berhijrah ke kawasan bandar adalah disebabkan oleh peluang pekerjaan di luar bandar dilihat kurang menarik dari sudut pendapatan dan peluang perkembangan kerjaya. Masalah ini terus menjadi penghambat utama kepada golongan pekerja, khususnya belia untuk memilih kerjaya di kawasan luar bandar. Selain itu juga, kawasan luar bandar (desa) dilihat mempunyai bilangan penduduk setempat yang terhad dengan pendapatan yang rendah. Justeru itu, untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, usahawan luar bandar perlu meneroka pasaran di luar daripada kawasan mereka. Kekurangan prasarana menyempitkan lagi ruang dan peluang bagi aktiviti keusahawanan. Hasil kajian Pelan Induk juga menunjukkan mereka menghadapi masalah modal dan kemahiran. 

1.2.5 Masalah Tanah dan Nilai Tambah yang Rendah

Pertambahan penduduk yang begitu pesat dan permintaan tanah untuk aktiviti bukan ekonomi seperti tapak perumahan telah menambah buruk isu tanah di luar bandar. Saiz pemilikan tanah di luar bandar yang kecil dan tidak ekonomik telah menghalang kegiatan ekonomi dijalankan secara komersial. Tambahan pula, kebanyakan aktiviti ekonomi masih terhad kepada pengeluaran barangan mentah. Kesannya, produk luar bandar tidak dapat menjana pulangan tinggi berikutan kurang nilai tambah dalam aktiviti pengeluarannya. 

1.2.6 Kebergantungan Kepada Buruh Asing dan Produktiviti Yang Rendah

Kekurangan buruh tempatan juga mula merebak ke sektor pertanian menjelang dekad 1990an. Masalah ini bukan sahaja terhad kepada sektor ladang, tetapi juga turut dihadapi oleh pekebun kecil, penternakan dan perikanan. Kini, sektor luar bandar juga terpaksa bergantung pada pekerja asing untuk terus beroperasi. Tambahan pula, tahap pengetahuan dan kemahiran penduduk luar bandar (desa) yang rendah serta amalan ekonomi dan teknologi mereka bersifat tradisional menyebabkan produktiviti buruh, modal dan tanah di luar bandar berada pada tahap yang tidak memberangsangkan. 

1.2.7 Saiz Penempatan Luar Bandar yang Bertaburan dan kecil

Penempatan luar bandar terdiri daripada kampung tradisi, penempatan FELDA dan FELCRA, kampung baru, penempatan ladang, kampung Orang Asli dan pusat-pusat penempatan di kawasan Lembaga Pembangunan Wilayah. Corak penempatan ini adalah secara berkelompok, sejajar dan bertabur. Corak penempatan desa sebegini memberi implikasi kepada tahap capaian program-program pembangunan yang dilaksanakan. Saiz penempatan yang kecil pula menghadkan bilangan penyertaan penduduk yang mempengaruhi keberkesanan sesuatu projek.

1.2.8 Pertindihan Agensi dan Fungsi (Ketidakcekapan dan Pembaziran Sumber)

Pelbagai agensi terlibat dalam usaha pembangunan luar bandar seperti Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, MARA, RISDA, FELCRA berhad dan KEMAS di bawah KKLW, Jabatan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Program-program kementerian/agensi ini semuanya memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang sama. Tanpa penyelarasan yang berkesan, keadaan ini boleh mewujudkan pertindihan fungsi dan pembaziran peruntukan serta kekeliruan di pihak penerima atau kumpulan sasar.

1.3 PERANAN BELIA DESA

Menurut Abibullah (1996), belia desa ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur belia (15-39 tahun) dan tinggal di kawasan yang dikategorikan sebagai desa (penduduk yang kurang daripada 10 000 orang). Mereka ini terdiri daripada lepasan universiti, maktab perguruan, institusi pengajian tinggi yang lain dan mereka terdiri daripada belia lepasan sekolah. Majoriti belia yang masih kekal di kawasan desa ini ialah belia lepasan sekolah (PMR, SPM, dan STPM). Mereka tinggal di sebuah desa sama ada bersama keluarga asal (ibu bapa) atau sudah tinggal bersama anak dan isteri. Pekerjaan mereka banyak bergantung pada kelayakan yang mereka miliki daripada bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat swasta sehinggalah kerja buruh di kawasan desa. 

Menurut Abibullah lagi, terdapat tiga saluran penting yang membolehkan belia desa boleh berperanan di daerahnya. Iaitu melalui pembangunan rohani, ekonomi dan sosial. Melalui pembangunan rohani, belia desa perlu menyumbangkan peranan mereka dalam aspek keagamaan, pendidikan, ketatanegaraan dan pembinaan semangat. Sebagai contoh dalam aspek pendidikan, belia desa boleh berperanan dalam memberi kesedaran untuk membantu membangunkan minda masyarakat desa. Penganjuran kelas-kelas tambahan dan tuisyen, kursus-kursus jangka pendek, seminar, bengkel, wacana, perpustakaan mini dan sebagainya boleh merangsang masyarakat desa berbudaya ilmu. Ini akhirnya akan menghasilkan masyarakat desa yang berilmu dan mampu melahirkan generasi yang berkualiti.

Selain itu juga, melalui pembangunan ekonomi, belia desa mempunyai kepentingan dalam mengendalikan projek, mahir dalam penggunaan teknologi, berdaya maju, penglibatan belia dan seterusnya berfaedah kepada masyarakat setempat. Sebagai contoh kita boleh lihat dalam aspek kemahiran dalam menggunakan teknologi termasuk juga dalam dasar modal insan. Menurut Abdillah (1996), projek-projek ekonomi yang dijalankan lazimnya bersifat menggunakan sumber-sumber tempatan seperti tanah terbiar, kawasan tanah baru dan mengusahakan tanah secara berkelompok atau menggunakan sistem pengurusan secara ladang. Projek-projek ini perlulah menggunakan teknologi semasa supaya daya produktiviti mencapai tahap seperti yang diharapkan. Penggunaan teknologi tersebut pula perlulah sesuai dengan tahap penerimaan belia dan tidak membebankan mereka terutamanya dari segi kewangan.   Manakala dalam aspek pembangunan sosial pula, peranan belia boleh dilihat dalam aspek gotong-royong atau kerja amal, kesenian, dan sukan. 

1.4 PRASYARAT KEJAYAAN BELIA DESA SEBAGAI AGEN PEMBANGUNAN DESA

Belia merupakan pelapis dalam mentadbir negara kelak. Walau bagaimanapun, belia desa tidak boleh berdiri sendiri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Kemahuan dan semangat kesukarelaan mereka untuk menggerakkan masyarakat desa perlu diberi penghargaan. Oleh itu, syarat kejayaan mereka banyak bergantung pada sejauh mana kewujudan mereka dibantu oleh faktor dalaman dan pelbagai faktor luaran. Apa yang lebih penting berbanding dengan kedua-dua faktor tersebut ialah belia desa tidak mungkin mencapai kejayaan membangunkan desa mereka tanpa pembentukan dan kewujudan sebuah atau beberapa buah organisasi yang kukuh dan mantap untuk bekerjasama memajukan desa mereka.

1.5 PERUNTUKAN BAJET 2015 DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG BERKEMAMPUAN MENTADBIR NEGARA KELAK.

Pembentangan Bajet 2015 turut mengambil kira kepentingan modal insan. Aspek pembangunan modal ini terkandung dalam strategi ketiga iaitu mengupayakan modal insan dan keusahawanan. Terdapat 12 tindakan yang difokuskan dalam bajet 2015 bagi memastikan strategi dalam membangunkan modal insan tercapai. Dalam pembentangan bajet 2015, menyatakan bahawa antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung pada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber galian semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baru. Justeru itu, untuk melahirkan belia yang mempunyai modal insan, kerajaan perlu komited dalam setiap perancangan yang dilakukan bagi membantu belia terutamanya belia desa mampu berdaya saing dan memperoleh pekerjaan bukan sahaja memiliki kelayakan, tetapi juga mempunyai jati diri yang kuat terutamanya dalam aspek rohani dan jasmani. Ini bertujuan untuk memastikan nilai-nilai murni kehidupan sosial di luar bandar seperti sikap malu, bekerjasama, jujur, mesra, bertanggungjawab dan berbudi bahasa berkekalan apabila berhijrah ke bandar ataupun tinggal di desa bagi tujuan membangunkan desa. Keupayaan memajukan diri sendiri dan keluarga perlu diterapkan dalam jati diri masyarakat desa. Mentaliti masyarakat yang mengharapkan bantuan semata-mata, sering bergantung pada orang lain untuk mengubah diri dan cepat berpuas hati dengan apa yang ada perlu dikurangkan. 

 Selain itu juga kerajaan juga komited untuk membangunkan potensi penduduk desa melalui sektor pendidikan. Hampir kesemua tindakan yang telah dicadangkan semasa pembentangan bajet 2015 berkaitan dengan aspek pendidikan. Kerajaan berhasrat agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34 peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2020. Dalam pembentangan bajet 2015 juga menyatakan bahawa sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaran dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, 56 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah penekanan kepada pemantapan sekolah-sekolah 7yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 250 juta ringgit untuk menjayakan Program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan Program Rakan Peningkatan Sekolah. Selain memantapkan profesionalisme perguruan dan prestasi sekolah, kerajaan juga akan memperluaskan program Sekolah Amanah.

KESIMPULAN

Membangun dan mengukuhkan modal insan di luar bandar yang akan dapat mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni. Penekanan perlu diberikan kepada merubah kerangka minda dan sikap penduduk luar bandar supaya mempunyai keyakinan diri dan semangat ingin berdikari. Dimensi pembangunan modal insan juga meliputi pengukuhan keupayaan asas dan pengekalan nilai murni yang diamalkan di luar bandar. Di samping itu, pembangunan keluarga yang sejahtera juga akan diberi tumpuan bagi membentuk institusi keluarga yang kukuh dengan kekuatan nilai yang boleh menjamin masyarakat dan pekerja yang beretika dan bermoral.

TERIMA KASIH :)

APA ITU GST, RASIONALISASI SUBSIDI DAN MENYEBARLUAS LAUTAN BIRU KEBANGSAAN. (PANDANGAN YANG DIGABUNGKAN)

Assalamualaikum... hurm now dah pukul 12.44 a.m.. mentang2 lah da abiz exam happy go lucky la ea.. :) nie sje je nk share pasal excimnt sem nie mengenai bajet 2015... skop yang aq nk lihat x silap aq strategi yang kedua iaitu tadbir urus fiskal. Dekat bawah strategi nie ada 3 tindakan yang disediakan oleh kerajaan untuk mencapai skala tadbir urus yang baik.. antaranya ialah pelaksanaan GST, Merasionalisasi Subsidi dan Menyebarluas Strategi Lautan Biru Kebangsaan. kalau ada pendapat yang kurang mnyenangkan harap perbetulkan.. pandangan nie semua merujuk kepada org2 yang berkenaan... bagi saya setiap apa yang nk dilaksanakan oleh kerajaan ada positif dan ada negatifnya. Sebagainya kita lihat dari aspek pelaksanaan GST. kebanyakan masyarakat tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST ini. Hal ini kerana GST ini membebankan rakyat. Jika kita lihat dari aspek agama terutamanya kebanyakan orang melayu yang beragama Islam diwajibkan membayar Zakat. Jadi apabila pelaksanaan GST ini mereka merasakan ia satu bebanan bagi mereka. okey apa2 kita ikutilah apa yang aq merepek dalam excimnt aq at bawah nie.. HOPE dapat membantu... hope result sem nie x mengecewakan.. I HOPE IT WILL BE OKAY :).. AMIN


Pembentangan bajet 2015 telah diadakan pada hari Jumaat bersamaan dengan 10 Oktober 2014 bertempat di Dewan Rakyat. Ucapan ini telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Pembentangan ini telah dibuat ketika membentang Rang Undang-undang Perbekalan 2015. Bajet pada tahun 2015 bertemakan ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’. Sebelum pembentangan bajet dilakukan, pihak kerajaan sangat mengambil kira keutamaan dan keperluan rakyat berasaskan semangat ‘Rakyat Didahulukan’ yang mana rakyat diberi peluang memberi pandangan untuk dimasukkan dalam bajet berkenaan. Hal ini kerana dalam merangka bajet 2015, pandangan rakyat dianggap sangat penting kerana sebahagian besar rakyatlah yang akan menerima kesan baik atau buruknya. Dengan mendapatkan pandangan rakyat secara menyeluruh, ia sekali gus memudahkan kerajaan untuk merumus dan mengurus perbelanjaan berasaskan pendapatan negara untuk tempoh setahun bermula 1 Januari 2015.

             Apabila melihat keadaan dunia pada hari ini, kita dapat lihat bahawa kebanyakan negara memilih corak perbelanjaan berhemat dalam menguruskan ekonomi masing-masing. Walau sekecil mana pun idea daripada seorang rakyat, ia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pandangan yang sama dikemukakan oleh ramai rakyat. Namun begitu, sebagai seorang rakyat yang mempunyai sifat akauntabiliti, setiap pandangan yang ingin dikemukakan perlulah disampaikan mengikut saluran yang diiktiraf supaya dapat dikaji dan diperhalusi. Pandangan yang bernas dan sebarang idea yang berguna untuk semua masyarakat lapisan masyarakat, biasanya akan ditapis sebelum dipertimbangkan menjadi inti pati bajet.

            Sebenarnya bukan mudah untuk pihak berkenaan merangka peruntukkan bajet untuk kegunaan selama setahun. Pelbagai faktor yang perlu diambil kira supaya pengurusan kewangan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam usaha mendapatkan idea sebelum bajet 2015 dirangka, setiap rakyat telah diberi kesempatan untuk memberikan pandangan mereka tanpa segan silu dengan menggunakan medium yang telah disediakan. Idea yang diberikan perlulah berasas, dan mempunyai signifikan tersendiri dan akhirnya boleh disumbangkan kepada negara. Idea dan pandangan rakyat sangat diperlukan dalam merangka peruntukan bajet 2015. Hal ini kerana, rakyat sendiri yang mengalaminya dan terbabit secara langsung dalam aktiviti kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, seorang peniaga di gerai makanan dan perniagaan tersebut merupakan punca pendapatan bagi seluruh keluarganya, dia berhak untuk memberikan idea mengenai perniagaan tersebut untuk penilaian kerajaan. Idea mereka mungkin lebih baik daripada pegawai yang hanya melihat sesuatu masalah melalui orang tengah  ataupun dari jarak jauh kerana mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti perniagaan. Mereka bukan sahaja tahu secara meluas mengenai harga barangan dalam perbelanjaan perniagaan harian yang mereka jalankan, malah mereka sangat memahami proses perniagaan. Hal ini kerana, mereka juga tidak lari daripada sebarang perubahan struktur ekonomi. Jika harga barang atau kemudahan asas naik, mereka juga turut menerima kesannya. Sebagai contoh kita boleh lihat, kebanyakan golongan yang berpendapatan rendah, akan melihat jumlah pisang goreng yang mereka akan peroleh apabila dibeli dengan harga RM1. Jika dahulu RM1 mewakili lima ketul pisang goreng, hari ini dengan harga yang sama mereka hanya mendapat tiga ketul pisang goreng. Oleh yang demikian, mereka akan mengaitkannya dengan kenaikan harga yang tinggi.

Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding peruntukan asal 2014. Daripada 223.4 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan. Di bawah peruntukan mengurus, 65.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 38.1 bilion ringgit untuk perkhidmatan dan bekalan. Agihan terbesar sebanyak 1.66.4 bilion ringgit adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. Di bawah peruntukkan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 29.3 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 12.6 bilion ringgit yang merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan perumahan serta kesejahteraan masyarakat. sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 4.9 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran iaitu sebanyak 1.7 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

Menurut pembentangan Bajet 2015, kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal, bagi mencapai bajet yang seimbang. Terdapat 3 tindakan di bawah strategi kedua dalam pembentangan bajet 2015 iaitu strategi untuk memantapkan tadbir urus fiskal. Antara tindakan yang telah disebut dalam pembentangan ialah melaksanakan Goods Services Tax (GST), Merasionalisasi Subsidi, dan tindakan yang terakhir ialah Menyebarluas Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Goods Services Tax (GST) ialah cukai yang dikenakan pada setiap peringkat sama ada pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna. GST juga merupakan satu sistem cukai tambah nilai iaitu dikenali sebagai value added tax (VAT). Ini bermakna nilai cukai akan bertambah pada setiap peringkat urus niaga. GST dikenakan pada setiap urus niaga kecuali urus niaga itu diberikan pengecualian. Walaupun GST akan dikenakan pada setiap urus niaga, namun pada akhirnya, pengguna akan membayar sekali sahaja kerana GST mempunyai mekanisme kredit cukai input tax credit yang mana cukai yang dibayar oleh sebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh dituntut balik. Cuma pengguna akhir sahaja yang tidak dapat meminta balik cukai yang dibayar oleh mereka. Sebagai contoh, “Amina merupakan seorang tukang jahit, dan membeli kain yang berharga RM 100 + RM6 (6% GST). Amina perlu membayar kepada kedai tersebut sebanyak RM 106 kepada kedai kain itu. Kedai kain itu perlu menyerahkan RM6 kepada kerajaan. Kemudian kain tadi dibuat baju, dan dijual kepada Pasar raya dengan harga RM150 + RM9 (6% GST) yang menjadikan jumlah yang perlu dibayar oleh pasar raya ialah RM159 kepada Amina. Oleh sebab Amina sudah membayar GST sebanyak RM6 ketika membeli kain tadi, jadi dia hanya perlu membayar bakinya sahaja kepada pihak kerajaan iaitu (RM9 – RM6 = RM3). Jadi Amina perlu membayar RM3 kepada kerajaan. Kemudian pasar raya tadi, akan menjual baju tersebut dengan harga RM200 + RM12 (6% GST) kepada ANDA iaitu pelanggan. Jadi jumlah yang perlu dibayar oleh kita sebagai pelanggan ialah RM212 kepada pasar raya tersebut. oleh sebab pasar raya tersebut telah membayar RM9 kepada Amina, jadi pasar raya hanya perlu membayar (RM12 – RM9 = RM3) kepada kerajaan”. Justeru, berdasarkan contoh yang diberikan kita dapat lihat bahawa akhirnya pengguna akan menanggung sepenuhnya kos GST.

Pelaksanaan GST telah diumumkan sewaktu pembentangan Bajet 2014 yang lalu. Kerajaan telah mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan GST terutamanya barangan makanan asas. Antaranya ialah beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencaluk, budu dan belacan. Selain itu, kerajaan juga akan menyatakan bahawa setiap bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak akan dikenakan GST. Pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran sekolah yang merupakan antara perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan tidak dikenakan GST. Tambahan pula, perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan juga dikecualikan oleh kerajaan. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan juga terpilih untuk dikecualikan dari GST.

Berdasarkan kepada maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antaranya ialah semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti wholemeal, serbuk kopi, serbuk teh, dan serbuk koko, Mi kuning, Kuew Tiaw, laksa dan mihun, ubat-ubatan penting yang meliputi hampir 2900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan. Selain itu juga, bahan bacaan seperti buku mewarnai kanak-kanak, buku latihan, dan rujukan, buku teks, kamus, kitab agama dan surat khabar turut tidak dikenakan GST.  Tambahan pula, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. ini bermakna, sebanyak 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

Menerusi pembentangan bajet 2015, kerajaan juga menyatakan bahawa bagi memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST. Oleh itu, melalui langkah ini pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG. Secara keseluruhannya, daripada 994 barang dan perkhidmatan yang terdapat dalam basket on goods, Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus. Antara produk tersebut adalah ubat-ubatan barangan tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut, selipar, perabot rumah, lampin bayi sabun, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. Manakala sekitar 354 barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga iaitu tidak melebihi 5.8 peratus. Untuk memastikan keadaan ini berlaku, kerajaan sangat berharap agar pihak peniaga bersifat tanggungjawab dengan meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat. Oleh itu, untuk memudahkan rakyat, kerajaan akan mengeluarkan shoppers’ guide bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

Dalam pembentangan bajet 2015 juga mengatakan bahawa pelaksanaan GST ini secara langsung membolehkan kerajaan mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran 2015. Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan kepada satu hingga tiga mata peratusan. Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak perlu membayarnya. Manakala golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4000 ringgit ke bawah sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Selain itu juga, cukai pendapatan individu juga akan distrukturkan semula yang mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan kepada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai maksimum yang kini 26% pula, dikurangkan kepada 24%, 24.5% dan 25%. Justeru pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3%. bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan koperasi juga akan dikurangkan kepada 1 hingga 2 mata peratusan. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai. Bagi tahun taksiran 2016 pula, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan 1 mata peratusan iaitu daripada 25% kepada 24%. Manakala bagi kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan kepada 1 mata peratusan daripada 20%kepada 19%.

Selain itu, dalam pembentangan bajet 2015 juga turut menyatakan bahawa pengalaman antarabangsa telah membuktikan bahawa tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor kejayaan pelaksanaan GST. Ini bertujuan untuk membantu para peniaga dan pihak kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan insentif dan bantuan kepada para peniaga. Antara insentif dan bantuan yang akan dilaksanakan ialah pemberian Geran sebanyak 100 juta ringgit kepada peniaga untuk menghantar kakitangan menjalani latihan GST, bantuan kewangan berjumlah 10 juta ringgit kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan, kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun Modal Dipercepatkan dan perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST diberi potongan cukai tambahan. Secara umumnya, GST ini telah dilaksanakan oleh 160 buah negara termasuk negara ASEAN. Malaysia akan melaksanakannya pada 1 April 2015, manakala 2 lagi negara ASEAN yang belum melaksanakan GST lagi ialah Brunei dan Myanmar.

Rancangan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat. Menurut Wan Saiful yang merangkap sebagai Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), menyatakan bahawa GST bukan satu perkara yang baru sebenarnya. Sistem pungutan cukai ini sudah lama dilaksanakan, cuma rakyat tidak perasan kerana cukai tersebut termasuk dalam harga barang dan perkhidmatan yang telah digunakan. Ia dikenali sebagai cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Sebenarnya apa yang dicadangkan oleh kerajaan itu merupakan penyatuan di antara kedua-dua cukai tersebut yang akhirnya menjadi Good and Services Tax (GST). Sebelum ini kadar yang dikenakan sebenarnya agak tinggi iaitu satu mewakili 6% dan satu cuai lagi mewakili 10%.                                 
                         
Walaupun GST ini dilihat sebagai satu sistem cukai yang adil dan menyeluruh yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, namun sesetengah pihak menganggap pelaksanaan GST ini merupakan satu langkah yang tidak popular yang diambil oleh pihak kerajaan. Terdapat sesetengah pihak yang bersetuju dan ada juga sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST ini. Kebanyakan di antara mereka menyatakan bahawa pelaksanaan cukai ini akan membebankan rakyat Malaysia. Memang secara umumnya terdapat barang dan perkhidmatan yang harganya akan naik, namun masih ada juga sesetengah barang yang harganya akan turun dan sama. Tambahan pula, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak akan dikenakan GST. Tidak dinafikan memang barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST akan dikawal oleh kerajaan, tetapi bagaimana pula dengan barang dan perkhidmatan lain. Sebelum GST dilaksanakan lagi kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara sewenang-wenangnya masih tidak dapat dikawal oleh kerajaan inikan pula apabila GST dilaksanakan.  Sebagai contoh harga tiket bas, harga susu untuk bayi, lampin pakai buang, milo, harga rumah dan sebagainya.

Secara rasionalnya, pihak kerajaan ingin melaksanakan GST ini kerana ingin memperbaiki sistem cukai sedia ada. Hal ini kerana cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang sedia ada mempunyai kelemahan, seperti cukai dua kali ganda ke atas pengguna dan ketiadaan pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barangan yang dieksport dan isu-isu harga pindahan. Selain itu juga, GST ingin dilaksanakan kerana kerajaan telah mengalami defisit fiskal kadar dalam keluaran domestik kasar negara meningkat. Peningkatan ini dikatakan telah berlaku hampir 42 tahun dan hanya 5 tahun sahaja negara mempunyai lebihan hasil dalam peruntukan. Defisit di sini bermaksud perbelanjaan negara melebihi hasil pendapatan. Justeru, apabila defisit bertambah, maka ia akan meningkatkan hutang negara. Tambahan pula, World Bank juga telah memberi amaran kepada pihak kerajaan mengenai peningkatan ini dan secara tidak langsung akan menyebabkan kedudukan negara akan turun. Jika kedudukan negara turun, negara akan mengalami kesusahan untuk mendapatkan pinjaman dari negara luar.

 Walaupun pada awalnya kerajaan ingin melaksanakan GST bagi membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai, namun GST yang akan dilaksanakan ini hanya akan menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga hampir kesemua barang yang akhirnya akan membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Kerajaan telah menetapkan bahawa kadar GST adalah sebanyak 6% yang mana secara relatifnya lebih rendah daripada cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan sebanyak 6% dan 10% setiap satu. Ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan GST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sepenuhnya malah ada barang yang akan turun dan sama harganya jika pihak kerajaan sentiasa memantau harga yang dikenakan oleh peniaga kepada pelanggan. Tambahan pula, pihak kerajaan juga telah menggubal Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), 2011) dengan pendekatan mekanisme ini, cukup untuk menjawab hujah tentang isu yang telah diutarakan oleh sesetengah pihak berkaitan kenaikan harga akibat pelaksanaan GST. Dengan kewujudan akta serta penguatkuasaan oleh pihak berwajib boleh mengembalikan semula keyakinan pihak-pihak tertentu terhadap pelaksanaan GST.

 Selain itu juga, kelemahan yang kedua yang menjadi perhatian pelbagai pihak adalah kadar cukai GST akan meningkat dari semasa ke semasa, merujuk kepada implementasi yang dilakukan oleh negara-negara yang telah melaksanakan sistem ini. Singapura salah satu negara yang telah melaksanakan GST dan kadar GST nya juga meningkat dari tahun ke tahun, 3% pada tahun 1994, 4% pada tahun 2003, dan 7% pada tahun 2007. Manakala bagi New Zealand, kadar GST pada peringkat pengenalan adalah sebanyak 10% pada tahun 1986 kadar ini meningkat lebih tinggi kepada 15% pada tahun semasa (Business and Economics, 2011). Kelemahan yang ketiga pula dilihat dari sudut pengecualian GST (GST berkadar sifar) yang diberikan kepada sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan swasta. Sektor-sektor yang terlibat dalam pengecualian ini, pengeluar barangan dan perkhidmatan seperti ini tidak boleh menuntut balik cukai input yang dikenakan ke atas setiap pengeluaran mereka, oleh itu pada dasarnya memang kita lihat bahawa sektor yang mendapat pengecualian ini tidak dikenakan sebarang cukai, namun pada hakikatnya, beban cukai input tersebut kemungkinan akan dialihkan kepada pengguna. Seringkali kita meletakkan sepenuh perhatian kita ke atas perubahan turun naik tingkat inflasi, tetapi perlu juga diambil perhatian ke atas eksport Malaysia. Seperti yang kita tahu bahawa, eksport adalah salah satu daripada item yang diletakkan di bawah cukai berkadar sifar, menunjukkan bahawa semakin ramai pengeluar- pengeluar yang perlu untuk menanggung kos cukai yang dikenakan ke atas input pengeluaran. Setiap pengeluar mula menyatakan rasa kebimbangan mereka, kerana harga mungkin cenderung untuk naik yang akhirnya menyebabkan permintaan terhadap barang-barang eksport akan berkurangan, jika tidak pengeluar terpaksa menanggung kos itu sendiri tanpa memindahkannya kepada pengguna, demi untuk memastikan permintaan ke atas barangan eksport kekal stabil.

 Pelaksanaan GST ini bukan sahaja dilihat dalam bentuk rasional, malahan terdapat juga segelintir masyarakat yang mengulas pelaksanaan GST ini secara metafizik iaitu menurut agama Islam. Secara keseluruhannya terdapat 3 kumpulan (para ulama fiqh) yang mempunyai pendapat yang berbeza dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Sebenarnya sistem cukai ini telah wujud sejak zaman pemerintahan awal Islam lagi. Antara cukai yang dilaksanakan pada zaman tersebut ialah cukai tanah, cukai perniagaan 10% ke atas perniagaan non-Muslim, dan cukai individu. Namun begitu, cukai yang dipungut ini bukanlah digunakan untuk kepentingan pihak pentadbir atau pemerintah pada masa itu, sebaliknya kesemua cukai itu digunakan dengan sebaiknya untuk kepentingan dan kebaikan masyarakat. Secara umumnya perbincangan mengenai hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan baginya. Urusan politik dan pentadbiran mestilah dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya. Iaitu perlu melihat bahawa sesuatu objektif itu perlu membawa kepada kebaikan berbanding kemudaratan. Secara kesimpulannya, dalam kaedah fiqh ada menyatakan ‘Menolak keburukan didahulukan dari membawa kebaikan’. Jika benar tanpa pelaksanaan GST, ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan negara menjadi longgar, maka tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini perlu dinilai dari semasa ke semasa. Seperti yang kita ketahui, Malaysia telah melaksanakan pungutan cukai barang dan perkhidmatan sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk menidakkannya secara drastik mungkin agak sukar kerana boleh menimbulkan kekalutan dalam pengurusan kewangan, pentadbiran awam dan negara serta dibimbangi akan membawa kepada banyak kemudaratan berbanding mendapat manfaat dari pelaksanaannya.

Zaharuddin (2014), akhirnya menyimpulkan bahawa hukum melaksanakan GST ini ialah harus berdasarkan pertimbangan kaedah ‘yang kurang mudarat dari dua mudarat’. Namun begitu, pelaksanaan ini perlulah diikat dengan beberapa perkara antaranya ialah kadar 6% perlu dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. mungkin menurut pendapat beliau, kadar 3% lebih sesuai sebagai permulaan. Selain itu juga sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tindakan drastik dan keras bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Pada pendapat saya, ia juga berkait dengan cara kerajaan menguruskan corak pentadbirannya. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya tidak mahu setiap laporan mengenai kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara pada setiap tahun hanya menjadi bebelan awam semata-mata, tanpa ada sebarang tindakan yang jitu. Selain itu juga, bagi memastikan pelaksanaan GST ini berjalan mengikut apa yang sepatutnya dicadangkan,  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari dari GST seterusnya dapat mengelakkan tiada lagi pegawai awam yang memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka sendiri.   Selain itu juga pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme yang baik dan jitu dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan pada 1 April 2015. Antara syarat lain ialah, setiap peruntukan yang diberikan kepada kementerian, jika belum atau tidak digunakan sepenuhnya pada tahun tersebut hendaklah direkodkan dalam bajet tahun berikutnya. Selain itu, jangan ada pihak yang memaksa sesuatu jabatan atau kementerian itu supaya menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian daripada peruntukkan dihabiskan pada perkara yang tidak sepatutnya. Ini dinamakan sebagai pecah amanah dan merugikan rakyat. Jika pelaksanaan GST menambahkan lagi kemudaratan kepada rakyat dan peniaga, pihak yang membuat keputusan iaitu pihak kerajaan telah dikira membuat keputusan yang memudaratkan kepada ahli negara dan rakyatnya, dan akhirnya akan membawa kepada dosa dan pengabaian amanah.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan dan pengurusan GST yang baik di samping mendapat kerjasama pelbagai pihak mampu memberi impak yang besar. Ia juga dikatakan boleh meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Walaupun pelaksanaan dan pengurusan sistem GST dianggap mencabar, namun tempoh yang selesa dan sesuai sebelum pelaksanaannya diperlukan bagi membolehkan semua orang bersedia dan faham serta didedahkan kepada sistem cukai GST ini lebih adil daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. masyarakat masih keliru dan kurang memahami apa itu GST sebenarnya. Pelaksanaan GST ini boleh dilaksanakan jika pihak kerajaan mampu menyusun semula metode cukai dan mampu diurus dengan lebih baik, telus, dan lebih kurang menekan berbanding percukaian cukai jualan dan perkhidmatan sebelum ini. Apa yang penting ialah peranan pihak kerajaan dalam mencorak cara pentadbirannya agar lebih berintegriti, akauntabiliti dan telus. Bagaimana sesuatu perkara diselesaikan dan bagaimana sesuatu perkara terlaksana bergantung kepada bagaimana corak pentadbirannya. Pihak kerajaan mempunyai kuasa dalam memberi keputusan. Sebagai contoh dalam mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Pihak kerajaan seharusnya bersikap tegas dalam menangani isu ini.

Selain pelaksanaan GST, kerajaan juga bersetuju untuk merasionalisasi subsidi bagi memastikan tadbir usur fiskal tercapai. Menurut Nurul Aini (2014), subsidi merupakan bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat. Ia bertujuan untuk mengawal harga bagi beberapa barang dan perkhidmatan keperluan utama. Rasionalisasi subsidi atau juga disebut sebagai penyelarasan subsidi, merupakan langkah yang akan memberi impak minimum terhadap individu atau isi rumah namun kesannya ke atas perbelanjaan kerajaan adalah besar. Oleh itu, menurut Nurul Aini lagi barang dan perkhidmatan yang di rasionalisasikan subsidi akan ditentukan oleh harga pasaran. Harga pasaran merupakan satu harga yang ditentukan melalui kuasa permintaan dan penawaran barang atau perkhidmatan. Jika permintaan melebihi penawaran, harga secara realitinya akan meningkat. Begitu juga sebaliknya, jika penawaran melebihi permintaan, maka harga yang ditawarkan akan menjadi rendah. Namun begitu, salah satu faktor yang menentukan harga pasaran ialah jumlah barang atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pasaran. Jika barang atau perkhidmatan ditawarkan dengan mencukupi seperti mana permintaan terhadapnya, maka harga barang akan menjadi stabil.

Pada tahun 1994, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi. Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion ringgit pada tahun 2014.  Bagi menambahbaik kedudukan kewangan awam, kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan untuk memastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Selain itu, kerajaan juga akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat. Menurut YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak (2014), kini lebih 2.1 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi telah meningkat lebih 14 kali ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada 23.5 bilion ringgit pada tahun 2013. Hal ini disebabkan oleh pihak kerajaan ingin mengekalkan harga runcit petrol yang rendah. Peningkatan ini juga disebabkan oleh penggunaan kereta yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat pada hari ini iaitu daripada 13.6 juta unit pada tahun 2008 kepada 23.7 unit pada tahun 2013. Oleh yang demikian, bagi memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah merasionalisasi subsidi, kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat (Teks Ucapan Bajet 2015, 2014).

Menurut laporan ekonomi 2010/2011, Kementerian Kewangan Malaysia, bermula 16 Julai 2010. Subsidi bahan api terutamanya petrol, diesel dan LPG serta gula telah dikurangkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan berkala program rasionalisasi subsidi Malaysia. Pelaksanaan program ini telah mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak lebih daripada RM750 juta pada tahun 2010. Semenjak tahun 1997, hutang kerajaan berkembang sebanyak 10% setiap tahun. Ini sangat berkait rapat dengan pemberian subsidi tersebut. jika pemberian subsidi dikekalkan seperti sebelumnya, beberapa masalah mungkin akan dihadapi sebagai contoh hutang negara akan meningkat. Oleh itu, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan negara mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi pelaburan masa hadapan. Jika pengurangan subsidi dilaksanakan, ini akan mengurangkan daya tarikan dalam kalangan pelabur asing dan syarikat antarabangsa untuk membuat pelaburan di negara ini. Oleh sebab rasionalisasi subsidi berkaitan dengan rancangan transformasi secara keseluruhan, maka ia merupakan satu pilihan yang tidak boleh dielakkan lagi (Nurul Aini, 2014).

Walaupun pemberian subsidi memberi keburukan kepada ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang, namun dari sudut lain tidak dinafikan ada juga kelebihannya dalam membantu rakyat dan ekonomi. Pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini secara tidak langsung akan membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekali gus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti subsidi petrol. Jika harga petrol tinggi, ia akan menyebabkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak lagi keluar membeli-belah, bersiar-siar, inikan pula ingin pergi melancong di dalam negara. Isu ini secara tidak langsung mengurangkan putaran ekonomi negara dan akan memberi impak dalam jangka masa panjang yang mana ekonomi negara akan meleser sekali gus akan merugikan kerajaan. namun begitu rasionalisasi subsidi petrol merupakan satu langkah berani kerajaan dengan memastikan subsidi yang diperuntukkan sesuai dengan kemampuan rakyat dalam penentuan harga petrol.

 Selain itu juga, pemberian subsidi secara pukal dilihat tidak berkesan dalam membantu rakyat yang kurang bernasib baik. Hal ini kerana, banyak kemudahan mengalir kepada golongan kaya, warga asing dan perniagaan besar. Oleh itu, dalam bajet 2015, kerajaan akan melaksanakan sistem rasionalisasi subsidi petrol yang melibatkan mekanisme baharu dengan mengambil kira pendapatan individu bermula Jun 2015. Menurut Timbalan Kewangan iaitu Datuk Ahmad Maslan, sistem tersebut dilaksanakan bagi tujuan untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja akan mendapat manfaat subsidi petrol. Hal ini kerana, agihan petrol kepada golongan yang sepatutnya telah tersasar, dan ia perlu diperbetulkan semula. Justeru, pada Jun 2015 tahun hadapan, pihak kerajaan ingin memastikan agar golongan yang benar-benar layak sahaja yang akan mendapat subsidi iaitu mereka yang berpendapatan RM 4000 ke bawah, dan yang tidak layak tidak akan diberikan subsidi iaitu mereka yang berpendapatan antara RM 4000 hingga RM 12000. Menerusi sistem ini, pengguna perlu membeli petrol dengan menggunakan My kad kerana jumlah pendapatan mereka telah direkodkan bagi menentukan sama ada pembeli layak mendapat subsidi atau sebaliknya. Namun begitu perkara ini hanya cadangan sahaja, dan masih dalam perbincangan dan mungkin ia boleh berubah kerana masih ada tempoh lagi sebelum rasionalisasi subsidi dilaksanakan. Pihak KDNKK juga meminta kertas cadangan daripada syarikat-syarikat lain yang ingin membangunkan mekanisme baharu ini. Hal ini kerana, jika ingin menggunakan idea MyKad sebagai cara untuk memastikan pemberian subsidi ini tidak tersasar, kerajaan memerlukan kos yang tinggi dan jika ingin memasukkan data pendapatan rakyat bukan satu tempoh yang singkat. Sistem untuk merasionalisasi subsidi ini dilaksanakan kerana kerajaan telah membelanjakan secara purata sebanyak RM 2 bilion sebulan untuk subsidi petrol RON95 dan diesel. Data telah mendapati bahawa sebanyak 70% digunakan oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi dan sekali gus menunjukkan bahawa pemberian subsidi ini telah tersasar kepada golongan yang tidak layak mendapatkan subsidi daripada kerajaan.

            Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan telah menyebabkan pihak pembangkang mengkritik tentang cadangan yang telah dikemukakan. Pemimpin pakatan rakyat berasa Putrajaya seharusnya memberikan fokus kepada penyelesaian isu tadbir urus fiskal yang lebih besar berbanding mekanisme kecil seperti penggunaan MyKad bagi memastikan golongan yang benar-benar layak menerima subsidi bahan api. Hal ini kerana, menurut pandangan mereka pembelian petrol dengan menggunakan MyKad tidak akan menyelesaikan isu subsidi bersasar, sebaliknya bagi mengatasi ketirisan perbelanjaan negara, kerajaan perlu mempunyai satu jalan penyelesaian menyeluruh terhadap keseluruhan sistem. Pihak pakatan juga menyatakan bahawa mereka tidak yakin dengan cara sasaran subsidi minyak menggunakan MyKad. Hal ini kerana, akan terdapatnya pihak yang tidak bertanggungjawab dan boleh  menyalahgunakannya, seperti menuang minyak menggunakan MYKad orang lain.  Namun begitu, pihak pakatan menyatakan bahawa sistem menggunakan MyKad ini boleh digunakan, cuma mereka bukan ingin melihat mekanisme pengagihan subsidi, tetapi ingin melihat komitmen kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan menangani ketirisan serta penstrukturan cukai. Selain itu juga, pihak ini melihat bahawa, jika sistem MyKad ini dilaksanakan, ia akan menyebabkan nasib golongan kumpulan berpendapatan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan RM4000 sehingga RM5000 akan terhimpit dengan sistem ekonomi yang sedia ada. Namun begitu, apa yang penting yang ingin disampaikan oleh pihak ini ialah, pihak kerajaan tidak sepatutnya mengumumkan cadangan menggunakan sistem MyKad ini sebelum kajian menyeluruh dibuat. Hal ini kerana, pengumuman yang belum matang dan belum ada kepastian yang menyeluruh akan mengelirukan rakyat. 

 Secara keseluruhannya, rasionalisasi subsidi ini dilaksanakan bagi membolehkan negara mengurangkan defisit dan mencapai sasaran pertumbuhannya. Tambahan pula, rasionalisasi subsidi juga merupakan salah satu isu yang berkaitan dengan perancangan transformasi secara keseluruhannya, maka ia merupakan satu pilihan yang tidak boleh dielakkan lagi. Selain itu juga, pengurangan subsidi kepada rakyat juga membolehkan negara meningkatkan peruntukan bagi sektor-sektor penting negara seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pembangunan masyarakat, latihan, dan seterusnya dapat mewujudkan pekerjaan melalui pelaburan. Untuk memastikan rasionalisasi subsidi ini berjalan dengan lancar, kerajaan juga telah melaksanakan langkah proaktif iaitu dengan mewujudkan pelbagai pendekatan seperti memberi pilihan kepada pengguna sama ada ingin menggunakan produk petrol RON95 atau RON97. Selain itu juga, kerajaan juga perlu memastikan badan penguatkuasaan mempertingkatkan usaha mereka dalam mengawal dan memantau pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada langkah rasionalisasi ini. Berbalik kepada cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan mengenai penggunaan MyKad sebagai langkah untuk memberikan subsidi kepada golongan yang berfokus. Pada pendapat saya, cara ini agak kurang memberangsangkan dan kurang berkesan. Hal ini kerana, apabila ingin memasukkan pendapatan rakyat dalam maklumat khas di MyKad akan mengambil masa yang agak lama. Tambahan pula, kos yang akan digunakan bagi melaksanakannya agak tinggi. ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada defisit. Selain itu, bukan semua rakyat di Malaysia ini bekerja dalam sektor awam dan swasta, malahan ada di antara mereka yang bekerja sendiri dan mempunyai gaji yang tidak tetap. Bagaimana pula kerajaan ingin memastikan gaji setiap individu terutamanya mereka yang bekerja sendiri. Selain itu juga, jika sistem MyKad ini dijalankan, ia agak rumit kerana perlu dikemaskini setiap masa khususnya bagi mereka yang selalu bertukar-tukar pekerjaan. Selain itu juga, bagaimana kerajaan menentukan seseorang pelajar yang mempunyai kereta layak mendapat subsidi atau tidak? Adakah dengan mengemaskini pendapatan keluarga di dalam MyKad pelajar tersebut? Dalam dunia yang serba moden ini, pelbagai cara yang boleh digunakan oleh seseorang untuk mendapatkan apa sahaja yang dikatakan baik untuk mereka. Sebagai contoh, suami mempunyai pendapatan atas RM 4000 manakala isterinya pula berpendapatan bawah RM 4000. Justeru si suami boleh menggunakan MyKad isteri untuk menunag minyak kerana isterinya mendapat subsidi petrol. Selain itu juga, chip di MyKad merupakan benda yang sensitif dan selalu rosak.  Sebagai contoh, jika seseorang itu ingin menuang minyak kereta, dan apabila sampai di kaunter pembayaran untuk di scan sama ada orang ini layak atau tidak diberi subsidi, dan chip pada MyKadnya rosak. Ini akan menyebabkan timbulnya masalah lain pula. Pihak kerajaan perlulah memperbetulkan corak pentadbirannya supaya setiap keputusan yang diambil membolehkan mereka untuk menjawab balik dengan memberikan kenyataan yang rasional. Mereka tidak boleh membuat pengumuman yang belum matang serta belum ada kepastian secara menyeluruh kerana ia secara tidak langsung akan mengelirukan rakyat sebagai contoh dalam memberikan cadangan berkaitan dengan sistem MyKad. Oleh itu, kerajaan perlulah mencari penyelesaian yang lebih holistik dan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah pembahagian subsidi secara bersasar dengan secepat mungkin kerana kerajaan ada masa tidak sampai 6 bulan dari sekarang sebelum rasionalisasi subsidi secara bersasar dilaksanakan.

Tindakan yang ketiga dalam strategi tadbir urus fiskal ialah Menyebarluas Lautan Biru Kebangsaan. Menyebar luas Strategi Lautan Biru Kebangsaan merupakan tindakan ketiga dalam melaksanakan strategi ketiga iaitu memantapkan tadbir urus fiskal dalam pembentang bajet bagi tahun 2015. Lautan merujuk kepada perkhidmatan awam manakala lautan biru pula merujuk kepada peluang baru untuk diterokai bagi menambahbaik perkhidmatan awam untuk rakyat. Dalam konteks menyebarluas lautan biru kebangsaan yang telah diperkenalkan oleh perdana menteri kita iaitu YAB. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada tahun 2009. Antara kata-kata beliau ialah ‘kita belayar dari lautan merah ke lautan biru dengan bekalan produktiviti, kreativiti dan inovasi’. Ia perlu dilaksanakan melalui kerjasama di antara semua kementerian dan agensi kerajaan iaitu merentasi kerajaan persekutuan, negeri dan juga tempatan. Untuk melaksanakan strategi ini, kita seharusnya berpegang kepada 3 prinsip proses saksama (3P). Antara prinsipnya ialah penglibatan di antara semua pihak iaitu menteri, penjawat awam hingga ke rakyat, penerangan mengenai kepentingan program menyebarluas lautan biru kebangsaan (NBOS) agar difahami oleh semua pihak dan prinsip yang terakhir ialah penjelasan tanggungjawab supaya semua pihak dapat memahami peranan masing.

Dalam pembentangan bajet 2015, National Blue Ocean Strategy telah menunjukkan keberkesanan pelaksanaan projek dan program kerajaan. Oleh itu, sebanyak 3566 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2015. Kerajaan telah bercadang untuk membuka 4 buah UTC di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTC di kedah. Selain itu juga, kerajaan bercadang untuk mempergiatkan lagi latihan peningkatan kemahiran atau upskilling kepada 5000 pelatih melalui program 1 Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor awam dan 1 Malaysia Training Centre bagi sektor swasta.

Kita dapat lihat bahawa, kerajaan akan telah memperuntukkan sebanyak 3566 juta ringgit bagi menambah lagi 4 cawangan UTC dan 1 mini UTC. Pada pendapat saya penubuhan UTC ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat dalam memudahkan urusan. Kebanyakan rakyat tidak mengkritik pelaksanaan NBOS ini kerana ia tidak membebankan rakyat malah memberi kemudahan kepada rakyat. Namun begitu, pelaksanaan NBOS ini secara tidak langsung telah membelanjakan banyak duit negara.

Secara kesimpulannya, untuk mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan negara, menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh serta mengurangkan defisit fiskal, kerajaan perlulah meneliti semula corak pentadbirannya. Tadbir urus yang baik menurut UNDP (1994), mempunyai 10 prinsip iaitu penyertaan, kedaulatan undang-undang, transpirasi, kesamaan atau kesetaraan, responsif, wawasan ke hadapan, akauntabiliti, efektif dan efisien, profesionalisme dan berorientasikan kepada konsensus. Namun begitu, terdapat 3 sahaja yang paling utama yang dilihat perli dititikberatkan oleh pihak pentadbir iaitu penyertaan, akauntabiliti dan transpirasi. Pelaksanaan GST dilihat sebagai salah satu bebanan kepada rakyat walaupun dalam pada masa yang sama kerajaan sebenarnya ingin memperbaiki sistem cukai yang sebelum ini dikatakan tidak telus dan sebagainya. Selain itu, kerajaan juga ingin mengurangkan kebergantungan negara kita terhadap Petronas seterusnya Petronas boleh menggunakan pendapatan untuk pelaburan dan membangunkan syarikat dengan lebih baik. Kerajaan ingin melaksanakan GST kerana sistem ini lebih cekap, berkesan, telus dan mesra perniagaan. Tambahan pula, GST ini dilaksanakan kerana ia berupaya untuk menjana punca hasil yang stabil seperti tidak terdedah kepada turun naik ekonomi. Pada pandangan saya jika benar-benar kerajaan ingin melaksanakan GST, pendidikan kepada rakyat berkaitan dengan kebaikan dan keburukan pelaksanaan GST kepada rakyat perlu diperbanyakkan. Hal ini kerana kebanyakan rakyat menganggap asal namanya ‘cukai’ barang akan naik dan membebankan rakyat. Kebanyakan rakyat mengatakan bahawa apabila harga minyak naik, automatik harga barang akan ini. Ini bersangkutan dengan kos penghantaran dan kemungkinan harga barang akan naik lagi jika rasionalisasi secara berfokus dilaksanakan pada Jun 2015.

terima kasih kepada sesiapa yang saya rujuk..